KUNJUNGAN…. Dr Mohd Nizam (empat dari kiri) bersama Natasha (empat dari kanan), Darlene ( tiga dari kanan) dan Jerry (kanan sekali) ketika melawat pusat galeri yang sedang dinaik taraf.
Presiden PERSKALA, Natasha Sharena Idris berkata, galeri yang akan dibuka kepada orang ramai hujung bulan ini merupakan platform terbaik para peserta Program Komuniti B40 untuk mengetengahkan hasil karya kraftangan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
“Galeri Seni Labuan ini merupakan suatu usaha inisiatif dari Persatuan Seni dan Kebudayaan Labuan (PERSKALA) yang akan menjadi salah satu pusat pelancongan seni dan budaya di Labuan disamping membantu menaik taraf para peserta seni yang pernah dan akan mengikuti Program Komuniti B40” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.
Beliau berkata, Galeri Seni Labuan yang terletak di Lorong Bunga Tanjung bersebelahan dengan Lorong Mural Labuan akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Santhara Kumar hujung bulan ini (Oktober) dan seterusnya di buka kepada orang ramai.
Dalam perkembangan yang sama pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah membuat lawatan dan tinjuan ke galeri itu baru baru ini telah menyambut baik inisiatif berkenaan dan bersedia untuk memberikan sokongan penuh dalam membantu menaik taraf warga seni Labuan untuk terus berkarya.
Menurut Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti Putra Malaysia, Professor Madya Dr. Mohd Nizam Osman, pihaknya akan memberi sokongan penuh dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan rakyat Labuan dari segi kesenian dan kebudayaan.
“UPM bersama PERSKALA akan bekerjsama dalam melaksanakan Program Komuniti Labuan yang bertajuk Program Transformasi Norma Bahru B40 Komuniti Bandar Labuan “Waste to Wealth” yang diketuai oleh ketua projek Dr. Irwan Syah Md Yusoff, Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia.
Lawatan UPM ke galeri tersebut baru baru ini adalah atas jemputan PERSKALA.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Timbalan Pengerusi PERSKALA, Darlene Dymphna Clement dan Ketua Majlis Perniagaan BIMP-EAGA Pembangunan Pelancongan Bersama Labuan, Jerry Teo.