MESRA…. Barisan Kepimpinan gabungan Parti Kerajaan Perpaduan yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha anjuran PKR Labuan.
LABUAN: Gabungan parti yang mendokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu kekal bersatu demi kestabilan politik dan negara.
Perkara itu ditekankan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Ali Hasan yang mengajak para pemimpin parti gabungan Kerajaan Perpaduan dan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan supaya terus bersatu bagi mewujudkan sebuah negara yang stabil.
Katanya sudah sampai masanya, parti gabungan Kerajaan Perpaduan menghentikan apa juga persengkitaan yang pernah berlaku sebelum ini dan membuka lembaran baharu untuk membina sebuah pulau Labuan yang lebih maju.
“Saya sebelum ini telahpun mengadakan perbincangan dengan pemimpin parti dalam Pakatan Harapan (PH) bersama Simsudin Sidek selaku Ketua Cabang PKR, Datuk Wira Dr Ramli selaku ketua parti AMANAH Labuan dan baru-baru ini dengan Ketua Parti Warisan, Datuk Rozman Isli untuk sama sama membela nasib rakyat dan membawa Labuan kearah yang lebih baik.
“Kalau kita tidak bersatu, percayalah pulau Labuan yang kita sayangi ini akan rugi dan rakyatnya akan ketinggalan dari arus pembangunan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha anjuran parti PKR Labuan yang diadakan di Balai Raya Kilan, dekat sini, pada Sabtu.
Beliau juga yakin dengan kesatuan para pemimpin parti Kerajaan Perpaduan di pulau ini, suara dan rintihan rakyat Labuan akan didengar oleh pucuk pimpinan kerajaan Perpaduan terutamanya masalah air yang telah membelangu rakyat Labuan sejak sekian lama.
Sementara itu, Mohd Rafi turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Cabang PKR Labuan, Simsudin Sidek yang sudi menjemput UMNO pada majlis tersebut.
Simsudin ketika berucap pada majlis itu, turut menekankan perkara yang sama dengan mengajak rakyat di pulau ini untuk sama sama membantu memperkukuhkan dan merapatkan hubungan silaturahim selain memastikan gabungan kerajaan Perpaduan terus kekal sebagai sebuah kerajaan yang mengutamakan kaharmonian rakyat.
Beliau juga turut mengajak rakyat di pulau ini memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk membantu Labuan selepas kerajaan tidak lagi mewujudkan Kementerian Wilayah sebaliknya mewujudkan Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Parti Amanah Kawasan Labuan, Datuk Wira Dr. Ramli Tahir, Naib Pengerusi DAP Labuan, Wong Kwan Kiat, Timbalan Ketua UPKO Labuan, Benjamin Talah dan Noor Halim Datuk Zaini mewakili parti Warisan Bahagian Labuan.