Dr. Noor Syakirah menyampaikan cenderamata kepada perasmi Profesor Dr. Asmady Idris
KOTA KINABALU: Satu seminar Hubungan Industri dan Kesatuan Sekerja di Borneo anjuran Program Hubungan Industri, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Internal Affairs & Employee Relations Sabah Electricity dan Malaysia Employee Federation (MEF) telah berjaya diadakan di sini baru-baru ini.
Seminar ini diadakan adalah bersempena Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei 2025.
Seminar yang telah dirasmikan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Profesor Dr. Asmady Idris itu bertujuan meraihkan pergerakan kesatuan sekerja di Borneo dan mencadangkan hala tuju pergerakan kesatuan sekerja agar bersesuaian dengan perubahan akta, kemajuan teknologi dan keadaan sosioekonomi semasa.
Seminar Hubungan Industri dan Kesatuan Sekerja di Borneo pada kali ini merupakan satu platform kepada tiga aktor dalam Hubungan Industri iaitu majikan, pekerja dan pihak kerajaan dalam menyalurkan idea, mengetengahkan isu-isu berkaitan buruh dan memperkenalkan pindaan baru terhadap Akta Kesatuan Sekerja 1959.
Antara kesatuan sekerja yang hadir adalah Kesatuan Kakitangan Perkeranian Pos Malaysia, Kesatuan Pekerja-Pekerja Hotel, Resort dan Restoran Sabah (SHRREU) dan Kesatuan Pekerja-pekerja Sabah Electricity (KPPSESB).
Turut hadir adalah wakil majikan, wakil kesatuan sekerja, ahli akademik dan pelajar Hubungan Industri.
Beberapa kertas kerja yang telah dibentangkan termasuk idea penubuhan muzium pekerjaan oleh Dr. Mahadirin Hj Ahmad telah diusulkan pada tahun lalu kepada Menteri Sumber Manusia sempena Hari Pekerja pada 1 Mei 2024.
Penolong Pengarah Kanan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Sabah turut berkongsi kertas kerjanya yang bertajuk Pola Pergerakan Kesatuan Sekerja di Malaysia Selepas Pindaan Akta Kesatuan Sekerja ini 1959.
Kertas kerja lain dibentangkan oleh Encik Azizan Morshidi bertajuk Kesatuan dan AI: Lanskap dan Trend Semasa telah dibentangkan
Acara lain dalam seminar tersebut ialah sesi forum berkaitan penggabungan sarjana Hubungan Industri di UMS yang dibicarakan oleh ahli panel termasuk Prof. Madya Dr. Dzurizah Ibrahim, Puan Salmie Jemon dan En Fazli Abdul Hamid kendalian Dr. Noor Syakirah sebagai moderator.
Manakala satu lagi sesi forum yang bertajuk ‘Pengalaman Berkesatuan Di Borneo: Cabaran Dan Masa Depan’ telah dikendalikan oleh Encik Asaraf Bin Sahimun, Pensyarah Program Hubungan Industri.
Ahli panel terdiri daripada Encik Cyrill Clade Bin Agus (Malaysian Employers Federation (MEF) Consultant), Cik Alice Chan, UNI Apro Commerce sector – UNI Global Union (UNI-MLC) dan Profesor Madya Dr. Mohd Nor Azan Bin Abdullah daripada Persatuan Staf Akademik Universiti Malaysia Sabah (PESAUMS).
Seminar sehari itu dilengkapi pembentangan pembicara jemputan khas daripada Program Sejarah, FSSK, Encik Baszley Bee Basrah Bee yang mengetengahkan kertas kerja bertajuk ‘Cadangan Muzium Pekerja dan Pekerjaan. Adakah idea ini boleh menjadi realiti?’.
Sebagai penutup kepada seminar ini satu resolusi telah dibentangkan oleh En Mohd Nasir Hj Yusof, Pengurus Kanan Jabatan, Internal Affairs & Employee Relations Sabah Electricity selaku penganjur bersama.
Resulosi ini sekali lagi menekankan konsep kerjasama dan kolektivisma dalam kalangan kesatuan sekerja dan perlunya hubungan yang baik dengan pihak majikan dalam sebuah organisasi.



