Unduk Ngadau Ranau 2023, Fiumie Chang Yee Ann (tengah) diapit oleh Jeraahfinah Jonis, Lyolastie Ratna Binti Bayang dan lain-lain
RANAU: Fiumie Chang Yee Ann dinobatkan sebagai Ranau Unduk Ngadau 2023 selepas mengumpul mata tertinggi pada pertandingan yang berlangsung di Dewan Masyarakat Ranau pada Sabtu.
Dengan kemenangan itu, beliau layak bertanding pada pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Negeri yang akan diadakan hujung bulan ini di Dewan Hongkod Koisaan (KDCA) Penampang.
Dalam acara itu, naib johan disandang Jeraahfinah Jonis, tempat ketiga Lyolastie Ratna Binti Bayang, tempat keempat Adriana Binti Julius dan tempat kelima Betsy Olivia Sopitol.
Dalam pertandingan yang sama, pemenang Anugerah Facebook Like dimenangi oleh Betsy Olivia Sopitol, manakala pemenang Anugerah Tati Rasuk Pokitanaan ialah Jeraahfinah Jonis.
Sementara itu, merasmikan majlis itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menggesa orang ramai di daerah ini memanfaatkan sepenuhnya kestabilan politik yang dialami negara ketika ini.
Katanya, mereka yang memiliki tanah perlu terus giat mengusahakannya dan mengkomersialkan tanaman serta hasil tempatan bagi meningkatkan tahap sosioekonomi diri dan keluarga.
“Walaupun tanahnya kecil, jika diusahakan sepenuhnya, sudah pasti ia akan menghasilkan hasil yang baik. Begitu juga dengan produk tempatan yang saya lihat di gerai-gerai di sini, terdapat pelbagai produk tempatan dipamerkan yang berpotensi untuk terus dikembangkan, ” katanya.
Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat Daerah Ranau yang diadakan di Dewan Masyarakat Ranau, Sabtu.
Terdahulu, Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan KadazanDusun (KDCA) itu berkata, Pesta Kaamatan mencetus transformasi ke arah masyarakat berbilang kaum yang saling menyayangi dan menghormati antara satu sama lain.
Justeru, katanya, tema Pesta Kaamatan iaitu “Kaamatan Membudayakan Perpaduan” adalah tepat pada masanya.
Menurutnya, Kaamatan dapat menyatukan pelbagai etnik terdiri daripada Kadazan Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) yang menyambut perayaan berprestij ini selain mampu mengangkat martabat budaya dan amalan tradisi di mata dunia.
“Dalam erti kata lain, festival ini adalah wadah untuk bersatu di negeri ini dan seterusnya menjadikan daerah termasuk Ranau lebih maju dan makmur,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang itu berkata, selain itu, Pesta Kaamatan juga terus menjadi tarikan pelancong luar dan dalam negara.
Kehadiran pelancong ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada ekonomi negeri, manakala festival ini juga dapat memberi peluang kepada peniaga kecil tempatan menjana pendapatan lebih pada musim perayaan seperti ini dengan menjual pelbagai barangan perhiasan tradisional, kraftangan dan makanan tempatan.
Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menter merangkap Adun Paginatan, Datuk Abidin Madingkir; Ahli Parlimen P.179 Ranau, Datuk Jonathan Yasin; Adun Dilantik, Datuk Amisah Yasin dan Pegawai Daerah Ranau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pesta Kaamatan Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani dan lain-lain.