CENDERAHATI.. Hajiji ( tiga dari kiri) menerima cenderahati yang disampaikan oleh Shahelmey (dua dari kiri)
KOTA KINABALU: Festival Soul to Soul perlu diperluaskan ke daerah lain di negeri ini agar lebih ramai rakyat dapat menyertainya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, program tersebut telah disusun dengan pelbagai aktiviti, modul dan pengisian yang berbentuk kerohanian serta ilmu yang bermanfaat kepada seisi keluarga.
“Jika kita lihat pada masa ini, terlalu banyak program yang berbentuk hiburan semata-mata, yang disajikan kepada masyarakat yang boleh menyebabkan kelalaian.
“Justeru, penganjuran program berbentuk kerohanian dan keagamaan seperti Festival Soul to Soul ini, sangat dialu-alukan, dan jika boleh diperluaskan ke daerah lain.
“Penganjuran festival yang antara objektifnya adalah membimbing masyarakat mengenali dan mencintai Allah dan Rasul melalui aktiviti yang dijalankan serta meletakkan Al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan utama, amat penting dalam keadaan dunia yang semakin mencabar ini.
“Dalam masa sama, wujudkan kerjasama dengan mana-mana jabatan atau agensi kerajaan yang berkaitan dalam menganjurkan program seperti ini,” katanya ketika merasmikan Pembukaan Festival Soul To Soul 2.0, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berkata forum berkaitan kepentingan institusi kekeluargaan yang turut diadakan sempena festival sudah pasti memberi manfaat besar terutama dalam keadaan hari ini.
“Kita semua percaya, bahawa kejayaan sesuatu kaum atau sesebuah masyarakat, bermula daripada sebuah keluarga, jika sesebuah keluarga itu baik, berdisiplin, bertataetika, maka akan terbentuklah juga ahli masyarakat yang baik, berdisiplin, bermoral dan bertataetika.
“Sebab itu, dalam dunia yang semakin mencabar pada hari ini, kekuatan institusi keluarga adalah komponen penting dalam proses pembentukan masyarakat dan seterusnya negeri dan negara.
“Tanpa institusi keluarga yang kukuh, masyarakatnya akan turut rapuh dan akhirnya rakyat dalam negara tidak akan sempurna.
“Islam memandang keluarga sebagai sebuah institusi pembentuk masyarakat yang bakal dibina, yang mana rakyatnya kukuh dalam nilai agama dan mempunyai tahap etika yang tinggi,” katanya.
Hajiji turut berkata, kerajaan negeri melalui Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya, bukan sahaja menekankan aspek pembangunan ekonomi dan kemajuan hidup rakyat, tetapi lebih khusus, pembangunan modal insan sebagai persediaan aset masa hadapan negeri dan negara.
“Program seperti Festival Soul to Soul ini, saya menganggapnya sebagai sebahagian daripada program pembangunan modal insan, kerana ia juga terarah kepada mendidik dan membentuk jiwa masyarakat, agar menjadi anggota masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohamad Arifin Mohamad Arif dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah, Ustazah Marhamah Rosli.- Penerangan–