ADVERTISEMENTspot_img

FEBBEDS 2026 Angkat Bahasa, Budaya Dusun Sabah Dalam Era Moden

Poster program

Oleh: Salwah Aramat & Editor

RANAU: Masyarakat setempat dan pengunjung dijemput memeriahkan Festival Bahasa dan Budaya Etnik Dusun Sabah 2026 (FEBBEDS 2026) yang bakal berlangsung di Dewan Masyarakat Ranau, Sabtu ini.

Penyelaras festival, Puan Sitiamah Haji Sahat, berkata penganjuran FEBBEDS 2026 bertujuan memperkenalkan, memelihara dan memperkukuh penghayatan terhadap bahasa, budaya, seni serta warisan etnik Dusun Sabah, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata festival bertemakan “Keaslian Dalam Kemodenan, Keharmonian Dalam Kepelbagaian” itu turut menjadi platform mempertemukan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti berteraskan budaya dan komuniti dalam suasana santai serta meriah.

“FEBBEDS 2026 bukan sekadar festival kebudayaan, tetapi menjadi wadah untuk menghidupkan kembali penghayatan terhadap bahasa, adat dan warisan masyarakat Dusun supaya terus relevan dalam kehidupan generasi masa kini.

“Pada masa sama, festival ini memberi ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama meraikan kepelbagaian budaya melalui pendekatan yang lebih dekat dengan komuniti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

FEBBEDS 2026 dianjurkan Persatuan Kebudayaan Dusun Bundu Sabah bersama Etnik Learning Centre dengan kerjasama pelbagai pihak, diketuai Pengerusi Penganjur Dr Linah Bagu dan diselaraskan Sitiamah.

Menurut Sitiamah, penganjuran festival berkonsepkan Mitatabang dan semangat kekeluargaan itu mengetengahkan pelbagai aktiviti yang mampu menarik penyertaan masyarakat pelbagai peringkat usia.

Antara pengisian utama ialah pertandingan Duo Manangon, peragaan pakaian tradisional dan pertandingan makanan tradisi yang mengetengahkan kreativiti, kearifan tempatan, identiti serta kekayaan warisan masyarakat Dusun.

Selain pertandingan, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan istimewa artis-artis Ranau yang bakal menghiburkan orang ramai menerusi muzik dan persembahan tempatan sepanjang festival berlangsung.

Festival itu turut menyediakan pameran berkaitan bahasa dan budaya, selain gerai jualan makanan serta produk tempatan yang memberi peluang kepada pengunjung menikmati pelbagai juadah dan mendapatkan barangan keluaran usahawan serta peniaga tempatan.

Lebih menarik, pelbagai hadiah bertuah turut disediakan, termasuk hadiah bagi pakaian pilihan terbaik pengunjung, beras lima kilogram, kupon makanan daripada gerai jualan serta hadiah menarik lain.

Sitiamah berkata penglibatan generasi muda amat penting bagi memastikan bahasa, budaya dan warisan etnik Dusun terus dipelihara serta diwarisi kepada generasi akan datang.

“Melalui festival seperti ini, kita mahu memastikan warisan yang kita miliki bukan sekadar dikenang, tetapi terus dipraktikkan, dihargai dan dikembangkan dalam suasana masyarakat yang semakin moden,” katanya.

Orang ramai, khususnya masyarakat Ranau dan kawasan sekitar, diseru hadir beramai-ramai ke Dewan Masyarakat Ranau pada 10 Oktober bagi menyaksikan pelbagai acara, pertandingan, persembahan dan sajian budaya yang disediakan.

“Umbaya Om Rumamai Tokou!”
Jangan lepaskan peluang membawa keluarga dan sahabat untuk bersama-sama menghayati, meraikan serta menghidupkan bahasa dan budaya etnik Dusun Sabah menerusi FEBBEDS 2026.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN