Oleh:Marryan Razan
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Gereja-Gereja Kadamaian di bawah program khas Sentuhan Kasih ADUN.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah itu berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada program sentuhan khas beliau sebagai ADUN Kadamaian yang telah beliau umumkan semasa Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru Kadamaian pada 19 Januari lepas.
“Saya memulakan program ini bermula pada tahun ini dan sekiranya diterima baik, saya bercadang menjadikannya sebagai program tahunan selaku ADUN Kadamaian.
“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak membantu pihak gereja dari pelbagai denominasi termasuk keperluan menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) dan memerangi Covid-19,” katanya.

Beliau menyampaikan sumbangan tersebut kepada pimpinan majlis gereja yang diketuai oleh Pengerusinya, Pastor Pool Tompisal di Pejabat Perhubungan ADUN Kadamaian, di sini, pada Jumaat.
Ewon berharap, pihak gereja dapat menggunakan sebahagian daripada sumbangan itu untuk membantu membeli keperluan makanan kepada jemaat yang memerlukan berikutan penguatkuasaan MCO.
Dalam pada itu, Pastor Pool mengucapkan terima kasih atas inisiatif yang kali pertama diperkenalkan oleh Wakil Rakyat di Kadamaian.

“Kami sangat bersukacita dengan pemberian ini dan sesungguhnya ia dapat membantu keperluan gereja-gereja di Kadamaian.
“Kami juga akan memainkan peranan dan turut berdoa agar Covid-19 ini dapat dihindari dengan secepatnya. Pihak gereja juga memberi kerjasama sepenuhnya kepada Perintah Kawalan Pergerakan dan segala usaha kerajaan membantu rakyat ketika ini,” katanya.
Sumbangan tersebut mencakupi gereja-gereja yang ada di kawasan Kadamaian seperti Sidang Injil Borneo (SIB), Roman Katolik (RC), Seventh Day Adventist (SDA) dan Basel.-TAMAT–