OLEH: MARRYAN RAZAN
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick menyumbangkan buku modul Bahasa Melayu (BM) PT3 dan SPM kepada seramai 497 pelajar Tingkatan 3 dan 5, SMK Narinang.
Buku Bahasa Melayu khusus untuk calon PT3 dan SPM “Oh My Guru “Modul” 4.0 itu ditulis oleh guru cemerlang Julis Makujal yang juga Guru Bahasa Melayu sekolah berkenaan.
“Sebagai tanda penghargaan saya kepada Cikgu Julis atas usaha dan kejayaan beliau menulis dan menerbitkan buku Bahasa Melayu Tingkatan 3 dan 5, saya mahu bukun ini digunakan oleh semua pelajar 5 SMK Narinang.
“Oleh itu saya menaja sebanyak 497 naskah buku kerja Bahasa Melayu untuk kegunaan semua pelajar sekolah ini yang menduduki peperiksaan PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Kurikulum (Penetapan ETR PT3 & SPM) dan Program Guru Penyayang 2020, di Dewan SMK Narinang, di sini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, menyeru para pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh agar mencapai kejayaan cemerlang seterusnya kembali berbakti kepada bangsa dan negara terutamanya masyarakat setempat pada masa akan datang.
Mengenai kerosakan astaka padang sekolah itu yang telah berlanjutan sejak sekian lama, beliau berkata, masalah itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu itu Ewon meluangkan masa bersama para pemimpin setempat dan pegawai Jabatan Penerangan Sabah Kota Belud mengedarkan risalah berkenaan Koronavirus kepada orang ramai di Tamu Mingguan Taginambur. TAMAT