26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, November 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Ewon santuni mahasiswa Sabah dan Sarawak UMP

TEMERLOH: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menghoskan majlis makan malam bersama Sekretariat Mahasiswa Anak Sabah Sarawak (SMASS) Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang menghimpunkan seramai 140 mahasiswa dari kedua-dua negeri berkenaan.

Dalam ucapannya, Ewon berharap para mahasiswa dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang serta menjadi kebanggaan kepada ibu bapa dan keluarga masing-masing, seterusnya turut membangunkan Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha memajukan negara secara keseluruhan.

“Saya berharap para siswa dan siswi bukan sahaja menyasarkan kerjaya dalam perkhidmatan awam atau sektor swasta, tetapi turut berani menceburi bidang keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ringkas pada Majlis Perjumpaan Pelajar UMP Sabah dan Sarawak di sini, semalam.

Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada SMASS bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kampus yang dianjurkan oleh SMASS.

Beliau turut berkongsi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan mahasiswa dan graduan.

“Dalam konteks keusahawanan kepada mahasiswa, KUSKOP telah melaksanakan pelbagai program pembangunan usahawan siswazah di bawah inisiatif Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ).

“Antara program yang dilaksanakan termasuk Program Latihan Intensif Dalam Talian Bagi Usahawan Generasi Baharu (N-GENE), Program Anjakan Minda Keusahawanan Graduan (PANDU), Program Usahawan Perantis (SPACE Asas), Program Usahawan Perantis Pembangunan Produk (SPACE-PPS), Seminar Keusahawanan Mahasiswa Jom Jumpa PROTÉGÉ (JJP) dan Program Usahawan Siswazah (PUSh),” katanya.

Katanya lagi, program-program berkenaan bertujuan memberi pendedahan awal, pembudayaan serta latihan berkaitan keusahawanan kepada mahasiswa dan graduan.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Sekretariat PROTÉGÉ telah melaksanakan 10 program melibatkan mahasiswa dan graduan, empat di bawah aspek kebolehpasaran dan enam di bawah aspek keusahawanan.

“Bagi aspek kebolehpasaran, empat program yang dilaksanakan ialah PROTÉGÉ Ready To Work (RTW), Program Penempatan Latihan Kerjaya dan Keusahawanan Bagi Graduan TVET (GRACE), Program Pensijilan Profesional Graduan TVET (SPTVET B40) dan Program Reach Out, Awareness and Developmental Programme (ROAD).

“Program ini bertujuan memperkukuh kemahiran individu, meningkatkan daya saing graduan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang relevan dengan keperluan industri semasa,” katanya.

Ewon berkata, kerajaan komited memperkukuh ekosistem keusahawanan negara dengan memberi peluang dan bimbingan kepada generasi muda agar mereka dapat menjadi sebahagian daripada penggerak utama ekonomi negara pada masa hadapan.

Sementara itu, Presiden SMASS UMP, Nayli Batrisya Syahirah Johan, merakamkan penghargaan kepada Ewon atas sumbangan RM10,000 yang disalurkan kepada pelajar Sabah dan Sarawak di universiti berkenaan.

“Kami akan menggunakan sumbangan ini sebaik mungkin bagi melaksanakan pelbagai aktiviti dan program pelajar,” katanya.

Timbalan Presiden SMASS UMP, Muhamad Faisal Rachman, turut menzahirkan penghargaan atas sumbangan tersebut yang disifatkan amat bermakna bagi meringankan beban pengurusan sekretariat.

“Sumbangan ini dapat membantu melaksanakan beberapa program yang telah dirancang dalam takwim tahun ini dan tahun hadapan. Semoga ia terus memperkasakan mahasiswa anak Sabah dan Sarawak di Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN