25.5 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mei 13, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Ewon Sambut Baik Pakej Bantuan Covid-19 Sabah

OLEH MARRYAN RAZAN

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick menyambut baik Pakej Bantuan Covid-19 Sabah yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah hari ini melibatkan peruntukan sebanyak RM670 juta.

“Saya menyambut baik pakej bantuan ini yang dibincang panjang lebar dalam mesyuarat kabinet hari ini dan amat yakin ianya dapat meringankan bebanan rakyat Sabah menghadapi pandemik Covid-19 terutamanya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (MCO).

“Pakej bantuan ini dapat meringankan beban pelbagai lapisan masyarakat termasuk di luar bandar yang kehilangan punca pendapatan dan memerlukan bantuan keperluan dapur serta petugas-petugas di barisan hadapan seperti anggota-anggota Jawatankuasa Bencana Daerah – Covid 19 di seluruh daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah,” katanya, di sini, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengumumkan Pakej Bantuan Covid-19 tersebut selepas mesyuarat Jemaah Menteri Sabah hari ini merangkumi 15 inisiatif.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, pakej bantuan itu menunjukkan keprihatinan Ketua Menteri dan seluruh pimpinan Kerajaan Negeri Sabah kepada cabaran-cabaran yang tercetus akibat pandemik Covid-19 dengan mengambilkira semua input yang telah dikemukakan.

“Malah, Ketua Menteri turut mengumumkan bahawa pakej kedua sedang dirancang khususnya bertujuan untuk merangsang aktiviti ekonomi selepas tempoh MCO berakhir,” katanya.

Beliau turut menghargai pertimbangan Ketua Menteri Sabah yang mengambil peduli kebajikan Pengerusi dan Setiausaha MPKK di seluruh Sabah dan menyediakan peruntukan pembayaran elaun sepanjang tahun ini yang terkesan akibat pertukaran kerajaan di peringkat persekutuan.

“Begitu juga dengan keprihatinan beliau menyediakan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi menambahbaik infrastruktur dan kemudahan asas luar bandar. Peruntukan ini penting untuk merangsang semula ekonomi di peringkat daerah di seluruh Sabah untuk keperluan projek kecil di kampung-kampung yang akan dilaksanakan sebaik sahaja tempoh kawalan pergerakan ditamatkan,” katanya.

Ewon berharap penularan pandemik dapat ditangani dengan baik dan situasi kembali pulih supaya pelbagai program pembangunan dapat dilaksanakan segera.

Beliau turut meminta semua rakyat agar memberi kerjasama terbaik sepanjang MCO dikuatkuasakan.

Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa tempoh MCO dilanjutkan sehingga 14 April ini. TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN