26 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 7, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Ewon cadang KUSKOP teruskan moratorium bantu usahawan terjejas bencana

Ewon dan Madius bersama para pemimpin UPKO memotong kek sebagai simbolik perasmian Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2026 UPKO

TUARAN: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meneruskan pelaksanaan moratorium pembayaran pinjaman bagi membantu usahawan yang terjejas akibat bencana.

Beliau berkata, di peringkat kementeriannya, pihaknya akan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan khususnya KUSKOP supaya Jawatankuasa Bersama yang telah ditubuhkan sebelum ini dapat diteruskan bagi memastikan penyelarasan pembangunan dilaksanakan secara lebih berkesan.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu penting bukan sahaja untuk penyelarasan program pembangunan keusahawanan, malah bagi menangani isu-isu berkaitan musibah dan bencana yang memberi kesan langsung kepada kelangsungan perniagaan.

“Sebelum ini, agensi-agensi pembiayaan di bawah KUSKOP telah melaksanakan polisi pemberian moratorium atau kelonggaran pembayaran pinjaman, termasuk penangguhan bayaran sehingga maksimum enam bulan kepada usahawan terjejas.

“Dalam hal ini, saya akan mendapatkan pengesahan daripada KUSKOP sama ada polisi tersebut masih diteruskan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2026 UPKO, di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini.

Ewon yang juga bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha kerajaan membantu para usahawan yang terjejas akibat bencana di Sabah.

“Saya bersama Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan akan mencadangkan supaya polisi ini diteruskan bagi meringankan bebanan usahawan yang terkesan akibat banjir atau bencana lain yang menjejaskan operasi perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus kekal berdaya saing walaupun menghadapi cabaran luar jangka.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN