Para peserta merakamkan gambar kenangan bersama Dr Gusni (duduk kiri), Azman (duduk dua dari kiri) dan Dr Norhuda (duduk dua dari kanan).
KOTA KINABALU: Etika dalam kewartawanan foto perlu diperkukuh bagi memastikan masyarakat menerima maklumat visual yang tepat dan berfakta.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Norhuda Salleh berkata dalam era digital yang menyaksikan sesiapa sahaja mampu menghasilkan foto berkualiti tinggi dan menyebarkannya melalui platform sendiri menimbulkan cabaran baharu kepada pengamal media kerana masyarakat semakin sukar membezakan antara foto seni dan foto berita yang membawa makna berdasarkan fakta.
“Foto dalam media bukan sekadar seni. Ia seni yang memberi makna dengan fakta. Itu yang membezakan pengamal media dengan orang ramai walaupun mereka juga mahir fotografi,” katanya ketika sesi perkongsian pada Forum Fotojurnalisme: Masa Lalu dan Masa Kini di University Collage Sabah Foundation (UCSF) di sini, pada Isnin.
Beliau berkata limpahan maklumat daripada pelbagai platform menyebabkan masyarakat hilang kemampuan menentukan apa yang perlu diketahui, seterusnya menimbulkan risiko salah tafsir dan penyebaran visual yang tidak dipandu etika.
“Hari ini semua orang ada platform sendiri dan maklumat yang terlalu banyak menyebabkan masyarakat hilang keupayaan menilai apa yang penting. Sebab itu etika dan nilai manusiawi perlu diperkukuh dan diterapkan sejak sekolah,” jelasnya sambil menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan peraturan pemilikan media sosial bagi golongan remaja di bawah 16 tahun.
Sementara itu, Dekan Fakulti Pembangunan dan Pengajian Media (FDMS) UCSF, Dr Gusni Saat berkata tujuan utama forum tersebut adalah untuk memberi pendedahan tambahan kepada pelajar mengenai amalan media semasa, termasuk cabaran digital yang menuntut kemahiran dan kepekaan lebih tinggi.
“Program ini memang kami reka sebagai platform untuk pelajar memahami amalan media semasa, terutama dalam dunia digital yang sangat mencabar. Ia kini menjadi acara tahunan fakulti,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Unit Foto, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah, Azman Jumat berkongsi pengalaman lapangan beliau mengenai kepentingan disiplin, kepekaan terhadap momen kritikal dan kepatuhan kepada etika media ketika menjalankan liputan rasmi kerajaan persekutuan dan negeri kepada para pelajar UCSF.
Menurut beliau, sebagai pengamal media, merakam gambar bukan hanya memerlukan kemahiran dan kreativiti tetapi memerlukan ilmu dan kepatuhan kepada undang-undang terutama situasi yang melibatkan isu-isu sensitif agar gambar yang tersiar mempunyai kredibiliti.
Program anjuran FDMS UCSF itu turut melibatkan penyertaan seramai 32 pelajar diploma dan pelajar dari pelbagai program media sebagai usaha memperkukuh kemahiran visual dan profesionalisme dalam bidang komunikasi./Penerangan



