DITAHAN… Empat suspek terlibat dadah yang berjaya ditahan polis baru-baru ini
RANAU: Empat lelaki tempatan dicekup polis di dua lokasi berasingan selapas didapati memiliki dadah jenis syabu, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton ketika mengesahkannya berkata, tangkapan pertama melibatkan suspek berumur 23 dan 24 tahun.
Katanya, bertindak hasil risikan pada petang Sabtu lalu, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, telah menyerbu sebuah pondok di Kg. Kituntul Lama yang dijadikan sebagai sarang kegiatan dadah.
“Semasa serbuan, polis berjaya menahan suspek seterusnya merampas beberapa peket dadah disyaki jenis syabu seberat 6.70 gram dengan anggaran harga semasa RM400.
“Salah seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dibawah Sek.12(2) dan Sek.15(1)(a).
Sementara itu, tangkapan kedua melibatkan suspek berumur 28 dan 48 tahun.
Menurut DSP Sammy, kedua-kedua suspek ditahan dihadapan sebuah rumah kongsi di Kg. Beduyon, di sini pada malam Ahad hasil maklumat risikan polis.
“Bagaimanapun, semasa tangkapan dibuat, kedua-dua suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan, polis menjumpai satu kotak rokok yang berisi beberapa peket dadah disyaki jenis syabu seberat 13.86 gram.
“Anggaran harga semasa dadah yang dirampas ialah RM800. Polis juga mendapati, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau kesalahan dadah dibawah Sek.39A(1), Sek.12(2) dan Sek.15(1)(a).
Keempat-empat suspek kini ditahan reman di lokap IPD Ranau untuk siasatan lanjut. Kes disiasat dibawah Sek.39A(1) ADB 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat khususnya di daerah ini agar menghindarkan diri daripada terlibat dengan kegiatan dadah.
“Operasi mengempur kegiatan penyalahgunaan dadah di sini akan diteruskan dari masa kesemasa. Justeru masyarakat diseru agar memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis. Butir-butir pemberi maklumat akan dirahsiakan untuk keselamatan,” tambahnya. http://Borneodailybulletin