Abidin (tengah) menyerahkan replika kunci Rumah SMJ kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan oleh yang lain-lain
RANAU: Sebanyak empat keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan mempu menarik nafas lega apabila masing-masing akhirnya menerima kunci kepada bantuan Rumah SMJ di sini pada hari Selasa.
Empat penerima tersebut terdiri daripada Azery Middie dari Kg Lukapon, Rusinah Unggah Yusod (Kg Marakau), Muktijih Basri (Kg Libang) dan Norfiqah Jahidin (Kg Libang).
Penyerahan semua kunci Rumah SMJ dilakukan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN N38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir.
Salah seorang penerima, Azery yang ditemui selepas penyarahan tersebut bersyukur kerana mendapat bantuan itu dan menzahirkan ucapan terima kasih beliau kepada Kerajaan Negeri yangbegitu prihatin terhadap nasib rakyat.
Seorang lagi penerima Rumah SMJ tersebut, Rusinah mengucapkan jutaan terima kepada Kerajaan Negeri dan juga wakil rakyat DUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir kerana memilih beliau sebagai salah satu penerima Rumah SMJ tersebut.
Beliau kini mempunyai rumah yang baru setelah rumah kediaman beliau yang lama telah rosak akibat bencana banjir yang melanda kampung tersebut beberapa tahun yang lalu.
Dua lagi penerima Rumah SMJ Muktijih dan Norfiqah turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan GRS khususnya Datuk Abidin atas budi baik yang merealisasikan impiannya untuk memiliki rumah kediaman sendiri yang lebih selesa.
Sementara itu, Abidin yang ditemui media selepas menyempurnakan penyerahan kunci Rumah SMJ kepada empat orang penerima di Mukim Tanah Rata itu berkata, kerajaan GRS sentiasa prihatin kepada rakyat yang memerlukan bantuan.
“Kita ingin menegaskan bahawa di bawah Kerajaan GRS yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Nor, Kerajaan Negeri telah melaksanakan bantuan perumahan SMJ kepada keluarga yang memerlukan sebanyak 20 unit setahun bermula dari tahun 2022.
“Ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk membina rumah kepada golongan rentan selain daripada bantuan perumahan PPRT,” kata beliau.
Abidin berharap kesemua 60 unit Rumah SMJ yang sdah diluluskan sehingga tahun 2024 dapat disiapkan mengikut jadual supaya ianya dapat diserahkan kepada penerima seberapa cepat yang boleh.
Kerajaan Sabah telah melancarkan program Rumah Mesra SMJ pada 28 September 2022 sebagai inisiatif mengeluarkan rakyat dari kemiskinan dan menyediakan perumahan mampu milik bagi golongan B40.
Pemberian rumah secara percuma kepada rakyat dengan rumah yang bernilai RM70,000 seunit.
Rumah Mesra SMJ ini mengguna pakai konsep Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi membantu golongan yang berada di bawah garis kemiskinan di Sabah memiliki rumah secara percuma.
Turut hadir dalam majlis itu Penolong Pegawai Daerah Marcelus Joanes, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Paginatan Hishamudin Harun, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, Pemaju Mukim Tanah Rata Lasius Galipoi dan lain-lain.