Kerja-kerja pembaikan dan pembersihan
KENINGAU: Empangan paip graviti di Kampung Pangas Ulu yang menjadi salah satu sumber bekalan air utama penduduk dilaporkan pecah, sekali gus menjejaskan kegunaan harian masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Dato’ Sr. Mohd Ishak Ayub, turun padang dalam lawatan kerja hari ini bagi meninjau sendiri tahap kerosakan serta mendapatkan maklumat terperinci mengenai keperluan pembaikan.
Empangan berkenaan merupakan antara sistem penting yang menyalurkan air bersih untuk kegunaan domestik penduduk kampung.
Kerosakan itu menyebabkan gangguan bekalan dan memberi kesan kepada rutin harian termasuk keperluan asas seperti memasak dan mencuci.
Dalam lawatan tersebut, beliau menerima taklimat daripada wakil kampung mengenai punca kerosakan dan anggaran kerja pembaikan yang diperlukan.
Sejurus itu, bantuan awal digerakkan termasuk sokongan kewangan serta penyelarasan bersama pihak berkaitan bagi mempercepatkan proses pemulihan sistem paip graviti berkenaan.
Beliau berkata, kemudahan asas seperti bekalan air bersih perlu diberi perhatian segera kerana ia berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat luar bandar.
Penduduk menyambut baik tindakan pantas itu dan berharap kerja pembaikan dapat disiapkan dalam masa terdekat agar bekalan air kembali pulih sepenuhnya.



