25 C
Kota Kinabalu
Jumaat, September 13, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

E-HOMESTAY, PLATFORM BANGUNKAN SEMULA SEKTOR PELANCONGAN INAP DESA YANG TERJEJAS AKIBAT COVID-19

Faharuddin (tangah) merakam gambar bersama sapah satu kumpulan selepas menerima sijil penyertaan.

KUNDASANG: Sektor pelancongan di negeri ini khususnya industri inap desa (homestay) akan dibangunkan semula selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Mohd Faharuddin Hatmin berkata, sejak kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan penularan covid-19, rata-rata inap desa di negeri ini terpaksa ditutup kerana tidak dapat beroperasi.

Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Mohd Faharuddin Hatmin

Katanya, untuk membantu menghidupkan semula sektor ini, beberapa langkah pemulihan telah dilakukan Tourism Malaysia Sabah termasuklah mengadakan program E- Homestay Sabah 2021.

“E-Homestay merupakan program pendigitalan pakej-pakej homestay bagi membantu para pengusaha untuk membangunkan pakej secara digital.

“Ini adalah salah satu usaha yang diambil untuk menyemarakkan industri pelancongan domestik terutamanya di Sabah dan sebagai persediaan sebelum pintu-pintu masuk negara dibuka untuk kemasukan pelancong antarabangsa kelak,” katanya kepada Borneo Daily Bulletin pada program itu yang diadakan di Hotel Perkasa Kundasang, pada Jumaat.

KOHADIE WATIMAN (kiri) ..salah seorang pengusaha inap desa di Kundasang (Walai Tokou Homestay) bersama ahli kumpulannya yang juga pengusaha inap desa
 

Menurut Mohd. Faharuddin, program ini tepat pada masanya kerana negara sedang giat berusaha untuk membantu para penggiat industri pelancongan tempatan yang terjejas akibat Covid-19.

Selain itu katanya, selari dengan perubahan landskap pelancongan ke arah digitalisasi pelancongan, program seumpama itu sedikit sebanyak dapat membantu para pengusaha inap desa untuk menyediakan pakej-pakej terkini sekali gus mengambil peluang untuk mengaplikasi platform digital sebagai salah satu medium bagi mempromosikan pakej masing-masing.

“Pakej-pakej inap desa yang akan dibangunkan ini  juga bukan sahaja dapat dipromosikan kepada rakyat Sabah, malahan promosi ini boleh diperluaskan kepada penduduk di Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia termasuk luar negara menerui platform digital.

“Di peringkat Tourism Malaysia Sabah, usaha berterusan akan dilakukan untuk membantu pengusaha-pengusaha inap desa atau homestay di negeri ini mempromosikan produk mereka menerusi platform digital”, jelasnya.

PEMBENTANGAN…. salah satu kumpulan yang membentangkan hasil kerja dalam kumpulan

Untuk rekod, berdasarkan rekod Program Pengalaman Homestay Malaysia, sehingga 31 Ogos 2021, negeri Sabah telah mencatatkan bilangan pelancong domestik tertinggi yang menginap di inap desa melibatkan sejumlah 9,848 pengunjung dengan jualan pakej sebanyak RM469,671.55.
 
Sementara itu, Presiden Persatuan Homstay Sabah, Duanis @ Djuanis Mogirong, menyambut baik inisiatif Tourism Malaysia Sabah yang telah menganjurkan program E-Homstay  yang beliau sifatkan tepat pada masanya.

Menurut Duanis, program seumpama ini akan memberi nafas baru serta suntikan semangat kepada pengusaha-pengusaha inap desa (homestay) di seluruh Sabah untuk bangun semula selepas terjejas teruk akibat pandemik covid-19.

Katanya, pengusaha-pengusaha inap desa sangat terkesan sepanjang pandemik ini, ramai pengusaha terpakasa menanggung kerugian dan ada yang hilang sumber pendapatan.

DUANIS….Presiden Persatuan Homstay Sabah, Duanis @ Djuanis Mogirong,

“Bukan mudah untuk memulakan semula operasi homestay ini selepas terpaksa ditutup sekian lama. Ramai pengusaha kekurangan dana untuk beroperasi kembali terutama melibatkan kos-kos penyelanggaraan fasiliti.

“Sehubungan itu, Persatuan Homstay Sabah amat berharap agar kerajaan menerusi Belanjawan 2022 dapat menyediakan satu pakej bantuan pemulihan atau dana khas kepada pengusaha-pengusaha homestay khususnya di negeri ini.

“Kami yakin, potensi untuk program homestay di Sabah ini untuk bangkit semula adalah cerah. Keyakinan ini dapat dilihat apabila sempadan daerah telah dibuka semula, kita nampak petunjuk bahawa ramai pelancong tempatan terutama daripada kawasan bandar datang ke kawasan-kawasan eko-pelancongan dan menginap di homestay yang sudah mula beroperasi,’ katanya.

URUSETIA…sebahagian urusetia program daripada Tourism Malaysia Sabah

Duanis yang juga salah seorang pengusaha homestay di Kota Belud berkata, dengan adanya dana khas itu kelak akan membantu pengusaha-pengusaha homestay untuk menyelanggara serta menaiktaraf fasiliti di homestay masing-masing agar lebih menarik dan kondusif.

Seramai 26 peserta terdiri pengusaha-pengusaha inap desa (homestay) dan wakil-wakil agen (ejen) pelancongan seluruh Sabah telah menyertai bengkel itu yang dianjurkan bersama Tourism Malaysia Sabah, MOTAC Sabah, INFRA Sabah, Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia dan juga Persatuan Homestay Sabah. 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN