Keadaan rumah bersama kenderaan yang musnah dalam kebakaran tersebut.
LABUAN:Dua buah rumah bersama lapan kenderaan pelbagai jenis musnah 100 peratus dalam satu kebakaran di simpang 9, Kampung Lajau petang kelmarin.
Bagaimanapun dalam kejadian itu kesemua penghuni termasuk empat kanak kanak terselamat dalam insiden tersebut.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abdul Rahman Ali, seramai 21 anggota bomba bersama lima buah jentera dari Balai Bomba Layang Layangan dan Balai Bomba Labuan Sentral telah dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada orang awam kira kira jam 2.37 petang.
“Selain dua buah rumah separuh kekal turut terbakar lapan buah kenderaan pelbagai jenis dan tiga buah motosikal, manakala tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kebakaran itu” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, pasukan Bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran Selamat sebelum operasi pemadaman di tamatkan pada jam 4.36 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan.