28 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Dr. Joachim rasmi Bangunan Balai Adat Mukim Timbua

Dr. Joachim menandatangani plak balai adat Mukim Timbua sambil disaksikan oleh semua pemegang adat yang hadir dalam majlis itu.

RANAU: Timbalan Ketua Menteri II yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam telah merasmikan Bangunan Balai Adat Mukim Timbua di sini kelmarin.

Beliau berkata, bangunan Balai Adat tersebut akan memudahkan pengurusan kes-kes adat di Mukim Timbua, sekaligus mengurangkan beban penduduk yang sebelum ini perlu ke Pekan Ranau untuk menyelesaikan masalah mereka.

“Balai Adat ini juga akan berfungsi sebagai tempat membincangkan pelbagai isu, menjimatkan kos pengangkutan ke Mahkamah Anak Negeri di Pekan Ranau, dan sebagai pusat penyimpanan buku adat resam serta kajian hukum adat untuk generasi kini dan akan datang,” kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu.

Dr. Joachim mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pengerusi Penganjur, Ketua Kampung Saukin Sama, serta para pemegang adat yang berjaya menjayakan program ini dengan komitmen tinggi.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada pemegang-pemegang adat yang terus mengamalkan adat resam dalam kalangan masyarakat Mukim Timbua, yang terdiri daripada 14 buah kampung.

DUN Kundasang yang mempunyai 100 kampung akan terus diberikan perhatian oleh Kerajaan untuk memenuhi keperluan penduduk.

Dr. Joachim mengarahkan Mahkamah Anak Negeri (MAN) untuk memastikan kampung-kampung yang memerlukan Balai Adat diberikan perhatian.

Dr. Joachim juga menyeru Ketua-ketua Adat agar terus menyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.

Turut diadakan perasmian pemagaran Bangunan Dewan Mukim Timbua dan penyerahan bakul makanan kepada penduduk.

Setiausaha Politik kepada Dr. Joachim, Yubidi Gumpoyo; Ketua-ketua Daerah, OKK Muhasip Haji Ruman dan OKK Dominic Ghanie; Pegawai Pemimpin Masyarakat DUN Kundasang, Dounis Sani; serta Wakil-wakil Ketua Anak Negeri, Ketua-ketua Kampung, dan pemimpin dari DUN Karanaan turut hadir dalam majlis tersebut. Mereka menzahirkan komitmen untuk bekerjasama dalam pelbagai aspek, mengenepikan perbezaan politik dan agama demi kesejahteraan masyarakat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN