TAHUKAH anda, sesetengah orang menganggap bahawa sesuatu angka itu mampu menggambarkan personaliti seseorang? Angka membawa maksud tanda (lambang) yang menunjukkan jumlah atau bilangan sesuatu nombor. Umum mengetahui, kaum Cina sangat mempercayai akan numerologi (hubungan nombor dan benda hidup).
Mengikut neumorolgi kaum Cina, di sebalik sesuatu angka itu tersirat makna tertentu yang mendalam yang menggambarkan situasi kehidupan dan personaliti seseorang. Dalam neumorologi tersebut Nombor 1 ditafsirkan sebagai menggambarkan kepada suatu kuasa dan kekayaan, 2 (kebahagian dan kasih sayang), 3 (mengangkat sesuatu kedudukan seseorang ke satu tahap yang lebih tinggi), 4 (mati, miskin, susah), 5 (keterujaan dan kejayaan segera tetapi ia mungkin tidak bertahan lama), 6 (kesusahan yang bersifat sementara kerana dipercayai akan meraih kekayaan selepas sesuatu tempoh), 7 (kestabilan dalam kehidupan), 8 (pengaruh yang sangat tinggi di samping kejayaan dalam kehidupan), 9 (mempunyai maksud yang sama dengan nombor 1 iaitu kuasa dan kekayaan) dan 0 (tiada).
Terdapat juga angka-angka yang dipercayai membawa ‘ong’ (untung, nasib baik) seperti kombinasi nombor 168 yang bermaksud saya akan kaya, 998 (Lama-lama kaya), dan 3889 (dapat kaya, kaya selamanya).
Selain itu sesetengah kaum ini juga terlalu berhati-hati dalam memilih nombor pendaftaran kenderaan yang ingin dibeli. Ini kerana bagi mereka nombor kenderaan juga mempunyai makna tersendiri iaitu 1 (satu / dijangka), 2 (lapar), 3 (hidup), 4 (mati), 5 (tidak), 6 (guling), 7 (terus), 8 (kaya), 9 (lama) dan 0 (tiada).

Menurut sepasang kekasih peranakan Cina yang telah melangsungkan pertunangan baru-baru ini, kedua-dua mereka telah mengaplikasi kepercayaan neumorologi tersebut dalam memilih angka yang sesuai untuk menentukan tarikh majlis pertunangan mereka. Tarikh yang dipilih juga bertepatan dengan Hari Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina.
Kedua-dua pasangan itu ( Basil Bulawan Bonipasius 26, Marry Angie Love Fabianus 26 ), memilih angka yang menarik iaitu nombor 2 di mana tarikh majlis pertunangan mereka ialah 2.2.22. Pemilihan tarikh tersebut menurut mereka amat bersesuaian dengan angka 2 yang bermaksud kasih sayang dan kebahagian. Kebetulan, tarikh itu juga jatuh pada musim cuti persekolahan sekolah.
Majlis pertunangan tersebut yang berlangsung dengan penuh SOP dihadiri lebih kurang 50 orang terdiri daripada ahli keluarga kedua belah pihak. Majlis telah disempurnakan oleh Ketua Kampung Matan, Bitim Butit.
Dalam majlis tersebut kedua-dua pasangan telah melangsungkan adat lafaz perjanjian pertunangan yang diterjemah melalui tandatangan sambil disaksikan 6 orang wakil setiap keluarga. Acara kemudian disusuli penyerahan hantaran oleh pihak lelaki kepada perempuan dan penyarungan cincin pertunangan. Majlis diakhiri acara memotong dan suap-menyuap kek serta makan bersama.
Semasa ditemui, kedua-dua pasangan berkenaan mendoakan agar ikatan kasih sayang yang terjalin menghasilkan kebahagian selamanya kepada mereka sesuai dengan makna angka keramat yang telah mereka pilih itu.