Joachim memberi tabik hormat.
KOTA KINABALU:Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menaik taraf kemudahan awam di Tugu Peringatan Petagas bagi menghadapi peningkatan pengunjung sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ketua Pengarah DBKK, Datuk Sr. Lifred Wong berkata kemudahan seperti tandas perlu berada pada tahap memuaskan bagi memastikan keselesaan pengunjung di tapak bersejarah itu.
“Kita mengambil kira keperluan pengunjung sekiranya berlaku kehadiran dalam jumlah yang ramai, justeru kemudahan sedia ada perlu dinaik taraf mengikut keperluan semasa.
“Beberapa penambahbaikan sebelum ini telah dilaksanakan hasil peruntukan kerajaan negeri termasuk pembaikan laluan pejalan kaki yang sebelum ini sering terjejas akibat banjir ketika hujan lebat.
“Langkah memastikan infrastruktur awam berada dalam keadaan baik adalah penting bagi mengekalkan imej tapak bersejarah itu sebagai lokasi pelancongan yang berdaya saing
,” katanya selepas Upacara Memperingati Mangsa Perang Petagas, pada Rabu.Tugu Peringatan Petagas merupakan lokasi pembunuhan dan perkuburan ahli-ahli pasukan penentang tentera Jepun digelar Gerila Kinabalu terdiri daripada 324 anak muda pelbagai kaum di Sabah diketuai oleh Albert Kwok.
Upacara Memperingati Mangsa Perang Petagas itu menghimpunkan kira-kira 400 individu melibatkan penyertaan 11 pasukan beruniform.
Istiadat bermula seawal 7.30 pagi dan mencapai kemuncak dengan upacara meletakkan kalungan bunga dimulakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Turut sama meletakkan kalungan bunga ialah Lifred disusuli Pegawai Memerintah Rejimen Ke-35 Artileri Diraja, Leftenan Kolonel Alhonsus Rodsung @ Benedect.
Majlis diakhiri dengan tiupan “Last Post”, bertafakur selama 20 saat dan tiupan “Rouse” sebagai penghormatan kepada perwira yang terkorban./Penerangan–



