24.2 C
Kota Kinabalu
Isnin, Jun 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Dana Kecemasan untuk Jalan Kg Badukan yang terputus – Abidin


RANAU: Adun Paginatan, Datuk Abidin Madingkir (gambar) memohon agar Dana Kecemasan dapat dikeluarkan bagi menangani masalah Jalan Kg Badukan yang telah putus selepas berlaku hakisan tanah ekoran hujan kuat yang turun pada petang hari Isnin.


Beliau yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, memberitahu bahawa pihaknya telah berhubung dengan Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani berkenaan insiden tersebut.


“Saya telah memohon kepada Pegawai Daerah, supaya mengeluarkan Dana Kecemasan untuk baiki kawasan yang runtuh itu, yang memberi kesan terhadap 320 orang penduduk sini.

Jalan yang runtuh di Kg Badukan Ranau


“Selain itu, kita mohon juga Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau untuk membantu membuat satu lencongan laluan sementara bagi membolehkan laluan kenderaan disambung semula.


“Apa yang kita utamakan ialah supaya para penduduk yang mencapai ratusan orang di sini, termasuk juga para pelajar sekolah, akan dapat melalui jalan tersebut secepat mungkin,” kata beliau.


Menurut Abidin, bidang kuasa terhadap jalan Kg Badukan tersebut telah mulai diambilalih oleh Pejabat Daerah Ranau awal tahun ini dan surat permohonan telahpun dibuat dan dihantar ke Kementerian Kewangan bagi penaiktarafan jalan tersebut.


“Sebenarnya permohonan kepada Pihak Kerajaan telahpun dibuat sebelum ini bagi menambah baik jalan tersebut, namun setakat ini, peruntukan belum lagi disalurkan.


“Justeru kita juga memohon kepada pihak berkuasa yang berkenaan agar dapat mempercepatkan penyaluran dana peruntukan yang dipohon untuk kawasan berkenaan,” katanya.


Sementara itu, beliau turut meminta para penduduk kampung agar bersabar sementara Pihak berwajib melaksanakan tindakan-tindakan yang perlu bagi menyambung semula jalan yang terputus itu.


“Kita harap kerja-kerja membuat laluan sementara dapat disiapkan dengan kadar segera agar membolehkan para penduduk, khususnya golongan tani menghantar hasil tanaman ke pekan Ranau dan juga murid sekolah dapat meneruskan pembelajaran mereka,” katanya.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN