Dakwaan kumpulan pengganas menyelinap masuk ke kawasan pendalaman Sabah membimbangkan.

OLEH: MARUTIN ANSIUNG

Datuk Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Polis Negeri Sabah dalam sesi temuramah bersama portal thevibes.com  mengenai kumpulan pengganas yang telah menyelinap masuk ke kawasan pendalaman Sabah adalah amat membimbangkan. 

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Kerajaan akan memberi perhatian yang serius kepada isu keselamatan sempadan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). 

Justeru itu, katanya, kawalan keselamatan bagi semua aspek perlu dipertingkat terutama dalam kawalan sempadan bagi mengelak sebarang tindakan keganasan yang akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Apabila bercakap mengenai pertumbuhan ekonomi, sudah pasti ia memerlukan persekitaran yang kondusif iaitu selamat dan aman. Ini kerana, kemajuan dan perkembangan ekonomi boleh terbantut akibat tindakan-tindakan keganasan yang akan memusnahkan banyak infrastruktur, memusnahkan iklim pelaburan, menurunkan produktiviti dan meningkatkan kadar pengangguran di kalangan masyarakat”. 

“Ditambah pula dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 ini, sebarang usaha-usaha Kerajaan perlu disokong sepenuhnya untuk meningkatkan ekonomi 

negara. Tiada pihak yang akan mendapat keuntungan jika ekonomi negara tidak dapat dipulihkan” jelasnya.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan mengulas lanjut mengenai perkara ini berkata, pada masa yang sama, semua pihak perlu berhenti daripada mempolitikkan isu keselamatan, sebaliknya menyokong usaha Kerajaan mengekang ancaman pengganas. 

“Setiap individu harus memainkan peranan untuk membantu melindungi negara. Hanya satu insiden keganasan boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara” tegasnya.

Ujarnya lagi, diharap pihak majikan perlu lebih berhati-hati dan telus dalam pengambilan pekerja dan mengutamakan pekerja tempatan. 

Dalam pada itu katanya, majikan tidak seharusnya lebih berminat 

menggaji pekerja asing dengan alasan tertentu, kerana ini sekaligus akan menafikan hak penduduk tempatan untuk mendapatkan pekerjaan.

“Saya turut memuji tindakan anggota keselamatan (polis dan tentera) yang bertugas 24 jam bagi memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara kekal terpelihara, terutamanya di Sabah ini” tambahnya.