25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 12, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Dakwaan bayar hutang RM1 bilion bukan usaha khas Kerajaan Warisan – Masidi

Masidi

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menegaskan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa pentadbiran Warisan pada 2019 berjaya membayar hutang RM1 bilion kerajaan negeri bukan hasil tindakan khas mereka, sebaliknya berpunca daripada perancangan kewangan yang telah dibuat lebih awal oleh kerajaan terdahulu.

Beliau berkata hutang tersebut merujuk kepada Bon Kerajaan Negeri Sabah (2014/2019) yang diterbitkan pada Disember 2014 di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), dengan syarat Bank Negara Malaysia agar kerajaan negeri menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Bagi Bayaran Balik Bon (Sinking Fund).

“Di bawah syarat bon itu, kerajaan negeri perlu menyimpan RM200 juta setahun selama lima tahun sehingga 2019. Apabila kerajaan Warisan mengambil alih pada 2018, sebahagian besar dana bayaran balik telah pun tersedia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi berkata, pada 2019 jumlah RM1 bilion telah terkumpul dalam Sinking Fund, membolehkan bayaran penuh dibuat secara sekali gus (bullet payment) tanpa membebankan kewangan negeri.

“Adalah tidak tepat untuk mengatakan bayaran ini hasil usaha khas kerajaan Warisan. Ia adalah hasil daripada perancangan kewangan berhemat yang dilaksanakan kerajaan terdahulu sebelum bon tersebut matang,” tegasnya.

Beliau berkata isu itu pernah dijelaskannya ketika sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri pada Julai lalu dan menambah bahawa pentadbiran kini komited memastikan rakyat menerima maklumat tepat mengenai kewangan negeri, selain tidak membiarkan kenyataan mengelirukan dibiarkan tanpa penjelasan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN