Zunikah mengetik perakam waktu terakhir di SK Lubok Temiang diperhatikan Farida (kiri), Muharna (kanan) dan Sunah.
LABUAN: Selepas menabur bakti selamat 33 tahun, akhirnya Cikgu Zunikah Amboh Turuh menamatkan perkhidmatannya sebagai penjawat awam.
Tarikh 18 Disember 2025 akan kekal dalam sanubari Zunikah apabila Kelab Guru Dan Komuniti Sekolah (KGKS) yang diketuai Pengerusinya, Aznan Abidin menganjurkan Majlis Persaraan Lambaian Kasih Tautan Rindu.
Majlis yang diadakan di Dewan SKLT itu dihadiri Guru Besar, Farida Abdul Rahman, Penolong-penolong Kanan, Muharna@Ana Sharif Mucklie (Pentadbiran), Sunah Tahir (HEM) dan Symsul Reduan (Kokurikulum).
Turut hadir Guru Besar SK Rancha-Rancha, Jaafar Matusin, Guru Besar SK Sg Bedaun, Haji Adam Abdul Rahim dan Timbalan YDP PIBG, Zulkefli Abdul Rahman.
Terdahulu Zunikah yang diiringi Farida dan Aznan mengunjungi tiga sekolah lama beliau iaitu SK Pantai, SMK Labuan dan SK Pekan 1.
Ketibaan beliau disantuni Guru Besar SK Pekan 1, Anita Shyamini Azman dan Guru Besar SK Pantai, Roslan Mohamad.
Zunikah yang juga guru Bahasa Melayu berkhidmat sebagai guru sejak 1993 sehingga 2025 dan akan bersara pada 1 Januari 2026.

Sebahagian guru dan staf serta murid SKLT bergambar kenangan bersama Zunikah.
Farida berkata majlis itu diadakan sebagai menghargai jasa dan penghargaan kepada Zunikah atas sumbangan bakti selama perkhidmatan beliau sebagai pendidik.
Selain itu, memberi pengikhtirafan rasmi daripada warga pendidik dan murid-mutid terhadap pencapaian serta dedikasi beliau.
“Majlis itu menjadi sumber inspirasi kepada warga sekolah agar terus berkhidmat dengan penuh komitmen dan integrity,”katanya dalam nada sebak.
Majlis pada pagi itu dimeriahkan dengan persembahan silat dan tarian Igal-Igal serta persembahan nyanyian daripada murid-murid Tahap 1.
Zunikah berharap majlis itu akan mencipta kenangan manis sebelum mengakhiri perkhidmatan.
Katanya, menerusi majlis itu akan mengeratkan silaturrahim antara guru, staff, murid dan warga sekolah dalam suasana penuh kenangan.
“Saya berharap budaya kerja yang positif, professional dan penuh tekun dapat diamalkan dan diteruskan di SK Lubok Temiang,”katanya sambil mengesat air mata.
Zunikah tidak lupa mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pentadbir dan guru-guru yang pernah bersama-sama beliau di SK Pantai, SMK Labuan dan SK Pekan 1 di samping SKLT sebagai sekolah terakhir sebelum bersara.
Tamat.



