OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Operasi bersepadu membasmi kuman (disinfeksi) Covid-19 sekitar pekan di sini melibatkan premis yang menjadi tumpuan orang ramai selasai menjalani proses sanitasi hari ini.
Operasi bermula jam 2.30 hingga 4 petang itu dilakukan bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Ranau, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Turut serta dalam operasi itu yang diketuai Pegawai Daerah Ranau, Yassin Ibrahim, ialah Pejabat Kesihatan Daerah (JKD), Hospital, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis (IPD) Ranau dan Majlis Daerah Ranau (MDR).
Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Ranau
ketika ditemui media berkata, semburan nyahkuman itu tertumpuh di bahagian koridor dan dinding luar bangunan premis perniagaan, termasuk kawasan bank dan beberapa lokasi.
Pada masa sama, beliau turut meminta pemilik serta pengurus premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya melakukan sendiri proses pembasmian kuman di luar dan dalam premis masing-masing setiap hari.
“Sebagai langkah mengekang penularan virus Covid-19 di daerah ini, JPBD telah melancarkan ‘Ops Nyah Kuman’. Namun apa yang kami mahu, mereka (pemilik premis atau pengurus) melakukannya sendiri setiap hari sepanjang tempoh PKP.
“Pihak berkuasa termasuk MDR akan sentiasa melakukan pemantaun untuk memastikan mereka mematuhi arahan ini,” jelas Yassin
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan operasi membasmi kuman (Ops Nyah Kuman) hari ini. –TAMAT–