Oleh: SALWAH ARAMAT
TELUPID : CDO daerah ini, Pinus Gondili dilantik sebagai Pengerusi Koperasi Komuniti Telupid Berhad, pada Mesyuarat Agung Permulaan (MAP) koperasi itu di Dewan Masyarakat daerah ini baru-baru ini.

Pinus dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir kerana memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk menerajui kepimpinan koperasi sebagai landasan meningkatkan ekonomi keluarga selain memupuk permuafakatan serta perpaduan dikalangan penduduk.
“Selaku peneraju utama koperasi ini, mengharapkan agar pihak kerajaan dapat memberi sokongan berbentuk peruntukan dana sebagai modal awal Koperasi kita.

“Saya juga berharap agar semua ahli dapat memahami konsep perniagaan melalui koperasi agar sama-sama menikmati faedah keuntungannya dan mencapai objektif utama untuk meningkatkan ekonomi keluarga ahli”, jelas Pinus.
Menurutnya, objektif utama penubuhan koperasi adalah untuk mmebantu komuniti menjana ekonomi melalui koperasi selain mendidik masyarakat setempat menjadi usahawan tempatan standing dengan peniaga lain.

Pinus berharap agar pihak Syarikat Koperasi Malaysia (SKM) dapat mempercepatkan pengeluaran Sijil pendaftaran agar koperasi itu boleh beroperasi dengan segera dan sahih dari segi undang-undang.
Sementara itu, Ketua Pentadbir Wilayah Tandek yang juga Pengerusi Pertubuhan Momogun Society Sabah, Nurjaffar Inggis ktika dihubungi berasa teruja dengan idea penduduk mewujudkan koperasi tersebut kerana melaluinya dapat memberi ruang dan peluang kepada penduduk untuk berbelanja bagi memajukan koperasi sekaligus memberikan pulangan dan penjimatan kepada para pengguna di daerah Telupid.
Nurjaffar menyifatkan penubuhan koperasi itu sebagai contoh terbaik bagi semua pihak termasuk para pemimpin di Sabah bagi mewujudkan suntikan semangat dan motivasi dalam usaha meningkatkan ekonomi penduduk setempat. Lebih 100 orang penduduk menghadiri MAP koperasi itu yang julungkali diadakan.- T A M A T-



