26 C
Kota Kinabalu
Ahad, November 10, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

CBR-UMS: Pertama di Sabah dalam Memperkasa Komuniti bagi Pemberian Rehabilitasi Asas

Isnin (tiga dari kiri) dan Rosalam (empat dari kanan) mengambil gambar kenangan bersama penduduk yang hadir pada program tersebut.

BEAUFORT: Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Hospital UMS (HUMS) dan Koperasi Ukhuwah Kota Klias Berhad menganjurkan Seminar Kesedaran Rehabilitasi, di sini pada Selasa.

Turut diadakan Pelancaran Rehab Living Lab bagi memperkasa komuniti sebagai pemberi perkhidmatan rehabilitasi asas kepada penduduk setempat melalui program Community-based Rehabilitation (CBR) atau pemulihan berasaskan komuniti.

Majlis perasmiannya disempurnakan Pembantu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih bertempat di Kampung Pilajau Beaufort

Dalam ucapannya Isnin menyarankan, para pegawai kerajaan tempatan dan pemimpin komuniti memberi sokongan penuh terhadap usaha murni yang dijalankan secara kolaborasi padu antara UMS dengan komuniti Beaufort.

“Saya ingin menyeru terutamanya kepada warga belia agar menyahut program ini untuk menerima latihan sebagai pemberi CBR.

“Sesungguhnya kerjasama dalam program-program sebegini ini amat penting sama ada di pihak industri, universiti dan komuniti terutamanya bagi menyokong dari segi sumbangan kewangan dan kepakaran,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Menurut Rosalam, projek yang dinamakan CBR-UMS itu dapat memenuhi keperluan warga komuniti luar bandar yang sememangnya sukar untuk mendapatkan rawatan rehabilitasi di atas pelbagai faktor.

“Kebanyakan pesakit yang memerlukan rawatan rehabilitasi adalah mereka yang mempunyai keupayaan berlainan.

“Ada antaranya yang mempunyai masalah pengangkutan, mengalami kesukaran akses ke fasiliti kesihatan serta ketiadaan ahli keluarga atau penjaga bagi membawa pesakit ke hospital daerah.

“Justeru, inisiatif yang pertama kali seumpamanya dilaksanakan di Sabah ini diharap dapat membantu masyarakat yang terkesan sekali gus mencapai objektif penubuhan CBR – UMS yang bertemakan ‘Memperkasa Komuniti’,” katanya.

Untuk rekod, pusat Rehab Living Lab UMS di Kampung Pilajau itu juga akan berperanan memberi latihan kepada belia yang terpilih untuk menjadi pemberi CBR sejajar dengan aspirasi UMS sebagai peneraju masyarakat berinovatif.

Ia diketuai pakar perubatan rehabilitasi dari FPSK UMS, Prof. Madya Dr. Fatimah Ahmedy bersama-sama para penyelidik Sabah Rehabilitation Research and Service Group UMS serta beberapa pegawai rehabilitasi HUMS.

Sementara itu, Seminar Kesedaran Rehabilitasi yang diadakan juga mendapat sambutan memberangsangkan daripada penduduk setempat.

Seminar disampaikan Prof. Madya Dr. Fatimah;  Pegawai Pemulihan Perubatan (PT) HUMS, Nurul Afiqah Fattin Amat; dan Pegawai Pemulihan Perubatan (OT) HUMS, Frisca Aziah Francis.

Turut diadakan pada program tersebut saringan kesihatan secara percuma daripada pasukan HUMS2U bersama Klinik Bergerak Hospital Pengajar UMS.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN