32 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Calon Warisan Dr Daud Fokus Untuk Bangunkan Bongawan Sebagai Daerah Penuh

DR DAUD…. Calon Warisan N30 Bongawan.

BONGAWAN: Calon Parti Warisan N30 Bongawan yang juga penyandang Dr. Daud Yusof berusaha untuk terus menaik taraf Bongawan sebagai sebuah daerah penuh sekaligus menjadikan antara fokus utama bagi memenuhi hasrat penduduk sejak sekian lama.

Beliau berkata, usaha untuk menaik-taraf Bongawan menjadi daerah penuh telah diusulkan semasa dalam pemerintahan kerajaan Warisan dan ia akan diteruskan supaya menjadi realiti berdasarkan beberapa mesyuarat yang telah kita adakan sebelum ini.

“Kita mahukan Bongawan ini diurus-tadbir oleh pejabat daerah sendiri, bagi membolehkan pelabur-pelabur yang berminat menerokai sektor perniagaan disini mudah untuk diuruskan.
“Terdapat masih banyak tanah dengan keluasan yang agak besar juga yang masih dibangunkan dengan penanaman yang boleh menjana ekonomi penduduk secara mapan…kita mahu ramai anak muda kita terlibat dalam sektor pertanian ini dan sudah semestinya harus ada bantuan permulaan daripada kerajaan.

“Begitu juga dengan kekayaan sumber laut di perairan Bongawan ini terutamanya di pesisiran pantai … ramai juga masyarakat disini bergantung hidup dengan hasil tangkapan…dengan mandat rakyat, kita akan meneruskan bantuan dalam memajukan industri ikan bilis melalui pembinaan bagang” katanya kepada media dalam satu perjumpaan khas di sini baru-baru ini.

Dr. Daud berkata, ketiadaan pejabat daerah akan menjadi penghalang kepada banyak perkara khususnya dalam urusan pelaburan yang boleh membantu mengubah landskap ekonomi disini.

“Jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain yang mempunyai kluster ekonomi seperti bangunan-bangunan kedai untuk aktiviti ekonomi, Bongawan hanya ada bangunan rumah kedai kayu yang dibina pada masa pra-dunia kedua.

“Bongawan ini masih mundur dari segi pembangunan infrastuktur, ekonomi, kesihatan dan pendidikan” katanya,

“Selain itu, kita juga mahukan industri burung walit yang sedia maklum, satu industri yang mampu menjana pendapatan lumayan, dimajukan lagi…seperti mana ketika pemerintahan kerajaan Warisan, kita boleh teruskan bantuan (pembinaan struktur rumah burung walit) untuk penduduk kampung menjana ekonomi sendiri.

Dalam soal pendidikan katanya, Bongawan mempunyai 28 buah sekolah rendah dan tiga sekolah menengah, namun ianya menyedihkan dengan sebilangan besar sekolah-sekolah ini diklasifikasikan sebagai sekolah daif.

“”Kita mahukan pembangunan seimbang dengan keadaan sekolah-sekolah yang perlu pembaikan mampu dinaik-taraf…tidak mustahil dengan prasarana yang ada, satu hari nanti, Bongawan yang boleh dilengkapi dengan pusat pengajian tinggi dan pusat kemahiran akan mampu menjadi sebagai hab pendidikan bagi melahirkan generasi muda celik pengetahuan, kemahiran dan teknologi.

Dalam aspek kesihatan, Dr Daud berkata, Bongawan hanya ada klinik kesihatan kecil yang dibina ketika zaman pemerintahan Usno, namun ianya tidak mampu menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat.

Beliau berkata, Bongawan perlu ada hospital sendiri bagi menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah selain kedudukan geografinya yang jauh dengan hospital-hospital besar di daerah lain seperti Papar dan Beaufort.

“Pada masa-masa tertentu, ada pesakit yang terpaksa bergegas ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, Papar atau Beaufort untuk mendapat rawatan, meskipun perjalanannya agak jauh juga…tidak semua penduduk kita mampu untuk mendapat rawatan di klinik swasta dan terpaksalah mereka ini ke hospital kerajaan untuk rawatan.

“Bukan itu sahaja, keadaan jalanraya di kampung-kampung masih belum berturap, dan ianya menyulitkan kepada penduduk kampung untuk keluar dari kampug mereka untuk mendapatkan rawatan (contohnya ibu-ibu mengandung).

“Keadaan jalanraya yang belum efisyen ini juga memberi permasalahan kepada petani-petani yang berada dipelusuk kampung-kampung untuk memasarkan hasil tani mereka di tamu hujung minggu, mereka ini terpaksa keluar dari kampung mereka seawal jam 12 malam untuk ke tamu hujung minggu.

Justeru itu katanya, Bongawan yang menjadi salah satu konstituensi Parlimen Kimanis, memerlukan ‘suntikan’ untuk melonjakkan sosio pembangunan ekonomi demi kesejahteraan penduduknya.

Meskipun ianya terletak berhampiran dengan terminal minyak dan gas Sabah (Sabah Oil and Gas Terminal) namun perkembangan ekonominya tidak begitu memberangsangkan, dengan ketiadaan pejabat daerah dan hospital.

Dr Daud berhadapan dalan saingan empat penjuru dari calon Barisan Nasional, Liberal Democratic Party (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN