Kong Soon Choi
KOTA KINABALU: Cadangan penubuhan Majlis Pembangunan Industri Halal di Sabah dan Sarawak akan beri manfaat besar kepada industri kecil dan sederhana dari komuniti serta usahawan nelayan.
Pengerusi Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan (Ko-Nelayan) Negeri Sabah, Kong Soon Choi berkata kerajaan pusat perlu meneliti perkara itu bagi membolehkan kerajaan negeri mengeluarkan lesen halal yang memudahkan semua peringkat pengusaha produk halal di Sabah dan sarawak membuat permohonan.
“Saya melihat keperluan itu untuk Kerajaan Pusat mempercepatkan penurunan kuasa kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak mengeluarkan sendiri lesen halal”. Katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Datuk Seri Panglima Dr.Jeffrey Kitingan yang mencadangkan agar kerajaan di Borneo diberi kuasa untuk mengeluarkan lesen halal pada Isnin.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, penubuhan majlis itu di Sabah dan Sarawak wajar untuk memudahkan proses pengeluaran lesen kerana jarak dua wilayah itu dari ibu negara amat jauh.
Jeffrey menyatakan cadangan itu ketika menghadiri mesyuarat pertama Majlis Pembangunan Industri Halal 2023 mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor di bangunan Parlimen pada Khamis.
Dalam pada itu, Kong turut berpendapat, Ko Nelayan Sabah bakal menerima impak pendapatan lebih tinggi jika lebih ramai peniaga tempatan memiliki lesen halal untuk berniaga.
Jelasnya, ketika ini beberapa produk koperasi itu akan dieksport keluar negeri Sabah termasuk mencari peruncit dan bergantung kepada beberapa usahawan terlatih daripada Ko Nelayan untuk tujuan pemasaran.
Justeru katanya, jika ramai peniaga yang mempunyai lesen halal, sudah tentu mereka boleh menjadi duta kecil kepada produk Ko Nelayan Sabah untuk dipasarkan didalam negeri.
“Saya berharap cadangan yang dikemukakan itu akan mendapat maklum balas positif kerajaan pusat dalam tempoh terdekat”. Katanya.