CENDERAHATI. Ismaidi menyampaikan cenderhati kepada Bashir sempena kunjungan tersebut di Wisma Perbadanan Labuan, pada Selasa.
LABUAN: Penduduk Bukit Timbalai dan sekitarnya bakal menikanti satu lagi pembangunan infrastruktur rakyat iaitu sebuah balai bomba mini (kelas D) yang sedang dirancang untuk dibina di bawah RMK 12.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan, Ismaidi Ismail berkata balai bomba kelas D itu dianggarkan menelan belanja antara RM3 hingga RM5 juta.
“Tujuan kita memohon pembinaan balai bomba ini adalah untuk memenuhi KPI jabatan iaitu mempercepatkan ‘respond times’ kurang 10 minit untuk sampai ke tempat kejadian khususnya di kawasan Kiansam yang sebelum ini terpaksa mengunakan perkhidmatan balai bomba Layangan” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat ke pejabat Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias di Wisma Perbadanan Labuan, pada Selasa.

PERBINCANGAN…. Ismaidi (tiga kiri) dan Bashir (dua kiri) berbincang mengenai isu isu semasa pembangunan dan perancangan JBPM Labuan sambil diperhatikan Kenneth (tiga kanan), Mohd Rashidi (dua kanan) dan Mohd Dzulfaizal (kiri sekali)
Hadir sama, Timbalan Pengarah JBPM Labuan, Kenneth Wilfred, Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran, Mohd Rashidi Awang Jaman dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan.
Ismaidi berkata, selain itu Jalan Bukit Timbalai memerlukan sebuah balai bomba bagi menampung keperluan susulan perkembangan pesat minyak dan gas di pulau ini.
Sementara itu, Bashir yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan menyokong penuh pembinaan itu bagi kesejahteraan rakyat di pulau ini.
“Saya dimaklumkan tadi, balai bomba Bukit Timbalai ini akan dilengkapkan 21 anggota termasuk pegawai bomba bantuan yang perlu diisi sepenuhnya oleh anak jati Labuan dan ini sekaligus akan memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan berkhidmat kepada negara dan masyarakat” katanya.
Bashir berkata, beliau akan berusaha untuk menyuarakan kepada kerajaan persekutuan, mahupun kepada kementerian berkaitan termasuk di dewan negara agar pembinaan balai bomba ini dapat dilaksanakan sepenuhnya mengikut perancangan di bawah RMK12.