Peter menerima cenderakenangan daripada Jackriso
NABAWAN:Penubuhan Parti Kesejahteraan Demoktratik Masyarakat (KDM) bukan bertujuan bersaing dengan parti-parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi berjuang seiring parti-parti berkenaan.
Presidennya Datuk Peter Anthony berkata, perjuangan KDM adalah selaras dengan perjuangan GRS yang memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah berlandaskan MA63.
“Kita berjuang seiring dengan pemimpin-pemimpin yang berpengalaman dalam GRS” katanya semasa berucap pada Majlis Asisimpung Am Asisindangan Parti KDM di dewan terbuka Majlis Daerah di sini pada Sabtu.
Hadir sama pada majlis yang dihadiri oleh hampir 5,000 masyarakat dari kawasan Tulid, Sook dan Nabawan itu, Timbalan Presiden KDM Datuk Juil Nuatim, Naib-Naib Presiden Datuk Laimun Laikim, Datuk Johair Matlani, Henry Saimpon dan Martin Tommy dan beberapa pemimpin pusat dan bahagian termasuk pengerusi penganjur Jackrison Kilan yang juga Ketua Penyelaras parti KDM Nabawan.
Majlis itu turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Sook Datuk Ellron Angin, ADUN Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan pemimpin-pemimpin parti komponen GRS.
Peter bersama pemimpin-pemimpin parti KDM bergambar bersama pemimpin-pemimpin GRS dan masyarakat yang hadir pada majlis itu.
Peter yang juga ADUN Melalap berkata, KDM juga turut memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah yang masih jauh ketinggalan daripada pembangunan ekonomi dan sebagainya.
Pada masa sama Peter menegaskan KDM ditubuhkan bukan untuk menjadi pembangkang tetapi untuk menyokong Kerajaan GRS.
“KDM juga mahu supaya pemimpin-pemimpin KDMR bersatu padu demi kepentingan masyarakat KDM di negeri Sabah” tegasnya.
Menyentuh kehadiran hampir 5,000 orang masyarakat dari kawasan Tulid, Sook dan Nabawan Peter berkata, ia adalah satu petanda yang baik dan membuktikan KDM mendapat sambutan di kalanagan masyarakat Pedalaman dan negeri Sabah keseluruhannya.
“Kehadiran Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan dan Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah dan pemimpin-pemimpin GRS yang lain menunjukkan KDM sebagai parti mesra GRS” jelas Peter.
Majlis itu diserikan dengan persembahan lagu artis-artis tempatan terdiri daripada Francis Landong, Abu Bakar Ela @ Ampal, Hendry Pangal, Sinikin Silip, Fredy Antawor, Shalheba Salleh, Dorce Mimie, Nory Alias, Eilim Ampating dan Suhaila Sarumping.
Turut memeriahkan majlis adalah artis jemputan dari negara jiran Kalimantan Indonesia Susi Welson Andawi.
Selain itu cabutan tiket bertuah yang menyaksi hadiah utama sebuah motosikal dan injin sangkut 15 hp, mesin rumput, chain saw serta peralatan pertanian, elektrik dan hamper turut menyerikan majlis.
Pada majlis itu Peter menyerahkan Watikah Pelantikan Ketua Penyelaras Parti KDM Sook, Nabwan dan Tulid serta menerima borang keahlian parti KDM dari kawasan Nabawan, Sook dan Tulid.