Abidin (tengah) dan lain-lain mengambil kesempatan beramah mesra dengan warga pekan Ranau semasa Walkabout Chinese New Year yang diadakan di sini pada hari Sabtu
RANAU: Rakyat di Sabah, khususnya di Ranau diajak untuk bersyukur kerana ada budaya yang telah lama diamalkan oleh masyarakat tempatan membolehkan semua perayaan dapat disambut dengan aman, harmoni dan penuh toleransi.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, budayan cintakan keamanan juga membolehkan Program Walkabout dapat diadakan setiap tahun sempena dengan Perayaan Tahun Baru Cina.
“Seperti mana yang kita ketahui bahawa di daerah Ranau ini, kita sebenarnya merayakan kesemua acara-acara yang disambut oleh masyarakat.
“Kita ini adalah masyarakat majmuk. Jadi bila-bila masa ada perayaan Tahun Baru Cina, tidak semestinya hanya yang berketurunan Cina yang meraihkannya tetapi masyarakat lain juga merayakannya.
“Begitu juga acara-acara lain seperti Krismas, Hari Raya Aidilfitri dan lain-lain, semua diraihkan tanpa mengira bangsa dan agama,” kata beliau yang juga ADUN Paginatan,.
Ini, tambah Abidin, adalah satu keunikan di Negeri Sabah, khususnya di daerah Ranau kerana ianya bukan Perkara baharu, tetapi memang sudah menjadi kebudayaan dari dahulu lagi.
“Jika kita melihat di daerah Ranau ini, mereka yang merayakan Tahun Baru Cina bukan semuanya pure Chinese, tetapi dipanggil sebagai Sino-Kadazan atau Sino-Dusun dan sudah tentu kita dapat berkerjasama, adanya keharmonian, perpaduan dan sebagainya.
“Bukan seperti di seberang sana atau di tempat lain di mana bukan senang kita mengadakan program seperti Chinese New Year Walkabout kerana di sana Sungguh sensitif.
“Tetapi Puji Tuhan kerana di Sabah, khususnya di Daerah Ranau, kita tidak mengira bangsa, keturunan, agama dan sebagainya, kerana ini sudah dari dahulu lagi kita dapat berkerjasama,” kata beliau.
Justeru, Abidin turut berterima kasih kepada masyarakat di Daerah Ranau ini kerana mempunyai kesatuan, perpaduan, keharmonian di antara satu dengan yang lain.
Menurutnya, sudah tentu acara seperti ini akan dilaksanakan setiap tahun di masa-masa akan datang kerana jangan lupa bahawa kebudayaan tempatan memang menuntut sedemikian supaya terus dapat memantapkan kesatuan di antara semua.
Antara yang hadir menjalankan program walkabout tersebut adalah wakil kepada Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin, wakil kepada ADUN Kundasang Datuk Dr. Joachim Gunsalam, dan wakil kepada ADUN Karanaan Datuk Masidi Manjun.
“Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka yang turut serta untuk menjayakan Chinese New Year Walkabout pada kali ini, dan juga berharap dari segi politik juga adanya kesatuan dan Kerjasama di antara kita semua,” kata beliau.
Sementara itu, beliau memberi Nasihat kepada para Pengguna jalan raya semasa musim perayaan ini adalah supaya mementingkan keselamatan semua dengan mengamalkan pemanduan berhema sepanjang masa.
“Nasihat saya satu saja, berhati-hati di jalan raya, dan kalau memandu, memandulah secara cermat, dan saya berharap mereka yang memandu, janganlah memandu semasa mabuk.
“Kita kena jaga keselamatan para Pengguna jalan yang lain juga. Kadang-kadang bila ada yang sudah ‘aramaiti’, kadang-kadang kita tidak sedar Pengguna jalan raya yang lain.
“Jadi jagalah diri sendiri, memandu dengan cermat dan berhema, dan pastikan untuk menjaga keselamatan semua orang,” jelas beliau.



