SIPITANG: Anggota Bomba dan Penyelamat terpaksa bertindak pantas untuk mengelakkan sebuah kilang daripada musnah terbakar dalam satu insiden di sini pada hari Selasa.
Ketua Balai BBP Sipitang PPgB Calvin Joe Jeofery memberitahu media, kejadian berlaku di Jalan Jeti Kilang Forest Industri Sipitang pada kira-kira jam 6.00 pagi.
“Kita menerima makluman tentang kes ini menerusi talian MERS999 pada jam 6.20 pagi lalu menggegaskan sekumpulan anggota seramai enam orang, diketuai Pegawai Operasi, PBK II Stefanus Lolon.
“Unit tersebut yang juga disertai sebuah Jentera FRT dan sebuah kenderaan EMRS tiba di tempat kejadian yang terletak 8 kilometer dari Balai Sipitang itudan mendapati berlaku satu kebakaran melibatkan sebuah kilang jenis kekal yang tidak beroperasi,” katanya.
Menurut Calvin, mujur kilang yang berukuran seluas 50×70 kaki itu hanya terbakar di bahagian Getah Conveyor dalam kilang yang berukuran 5×30 kaki yang telah terbakar 100 peratus namun tidak melibatkan struktur bangunan.
“Pasukan Bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan 2 aliran 300′ 2 pancutan sumber air dari Pili Bomba berhampiran. Tiada mangsa terlibat. Operasi terkawal pada jam 6.55 pagi dan operasi tamat pada jam 9.50 pagi,” katanya.