Bomba tangkap ular tedung 20kg menyusur masuk rumah

Oleh: Jainudin Djimin

ULAR Tedung yang berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut.

LABUAN: Sepasukan anggota Bomba dari Balai Bomba Kampung Jawa di sini terpaksa lebih berhati-hati untuk menangkap seekor ular tedung seberat 20 kg yang bersembunyi di rak almari disebuah kediaman di Kampung Tanjung Aru, dekat sini, malam tadi.


Ketua Operasi PKB II, Irwan Sinam, berkata pihaknya bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.45 malam.


Beliau berkata sebaik tiba, pasukannya meninjau dan melakukan pemeriksaan dibahagian dapur dan telah menemui seekor ular tedung sedang bersembunyi di bawah rak almari.


“ Saya bersama tujuh lagi anggota bertindak dengan lebih berhati-hati apabila melihat seekor ular tedung yang begitu besar dengan saiz kepalanya lebih dua kali tapak tangan orang dewasa dan sekali-kali bertindak agresif “katanya.


Beliau berkata, pihaknya mengambil masa lebih 20 minit untuk menangkap ular berkenaan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan.


Difahamkan, ular seberat 20 kg dan panjang sekitar 10 kaki itu pada asalnya berada di luar pintu rumah berkenaan, namun ular tersebut dipercayai ‘panik’ ketika berdepan dengan beberapa penghuni rumah yang terkejut dengan kehadiran ular berkenaan lantas terus menyusur masuk dalam rumah dan bersembunyi bahagian rak almari dapur tumah berkenaan.


Sementara itu Irwan berkata, ular tedung tersebut merupakan reptilia berbisa yang terbesar pernah mereka tangkap sepanjang tahun ini.