(Dari kiri) Calon bebas Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli serta Mohd Sharim Md Zain (kanan) daripada BN menyentuh siku satu sama lain menggantikan salam di luar IKBN Pekan hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini akan menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon Barisan Nasional dan 2 calon bebas.
Calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 41, berdepan saingan daripada ahli perniagaan, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64 dan aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.
Pengumuman calon yang layak bertanding itu dibuat Pegawai Pengurus PRK, Zaliza Zulkipli di pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pekan, Pahang pagi ini.
Sharim ialah ahli jawatankuasa Umno Bahagian Pekan dan pengerusi Majlis Belia Felda Kuantan.
Tengku Zainul Hisham dilaporkan ialah timbalan ketua PPBM Bahagian Pekan yang menggunakan simbol ‘rumah’, manakala Shukri ialah penulis blog yang menggunakan simbol kunci.
Chini antara 4 kerusi Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Pekan yang diwakili bekas perdana menteri, Najib Razak.
PRK Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.
Abu Bakar yang mewakili BN pada pilihan raya umum 2018 berjaya mempertahankan kerusi disandangnya itu dalam saingan 3 penjuru dengan majoriti 4,622 undi, mengetepikan calon PAS yang mendapat 5,405 undi dan calon PKR mewakili Pakatan Harapan yang meraih 1,065 undi.
Chini mempunyai 20,900 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal. Mereka yang berusia 40 tahun ke bawah terdiri daripada 56%.
Ini ialah PRK pertama yang diadakan sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon dan parti diberi kelonggaran untuk berkempen secara berceramah, dari rumah ke rumah dan tinjauan mesra atau “walkabout”.
Tetapi, penganjur perlu memastikan pematuhan penjarakan sosial, memakai topeng, menggunakan cecair pembasmi kuman, saringan suhu badan dan pengambilan rekod kehadiran.
Katanya, setiap pengundi akan diberikan sarung tangan sebelum mendaftarkan diri dan diberikan berus pakai buang untuk mencalit jari sendiri.
Pengundian pos bermula esok, manakala pengundian awal pada 30 Jun ini dan hari mengundi pada 4 Julai nanti.
Sumber: FMT