25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 11, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Bila Persepsi Mengawal Tangan di Kotak Undi

Oleh: Dr. Jakaria Dasan

SETIAP kali musim pilihan raya tiba, pelbagai cerita akan berlegar dalam masyarakat, janji calon, isu pembangunan, dan gosip politik yang semakin sensasi dari hari ke hari. Namun di sebalik hiruk-pikuk ini, ada satu perkara penting yang jarang kita selami secara mendalam,  bagaimana minda dan perasaan kita sendiri membentuk keputusan undi.

Kita sering menyangka pilihan mengundi dibuat secara rasional, tetapi hakikatnya ia banyak dipengaruhi oleh apa yang disebut sebagai kesilapan persepsi. Apabila kecenderungan untuk mempercayai tanggapan awal bercampur dengan keyakinan yang separuh masak, muncul satu fenomena senyap tetapi kuat iaitu Ramalan Pemuas Kendiri (Self-Fulfilling Prophecy). Ramalan ini berlaku apabila apa yang kita jangkakan tentang seseorang atau sesuatu akhirnya menjadi kenyataan kerana tindakan kita sendiri menghala ke arah jangkaan tersebut.

Dalam politik, contohnya, apabila pengundi percaya Calon A “pasti menang”, mereka tidak lagi menilai calon lain dan terus mengundi Calon A. Apabila kepercayaan ini dikongsi secara meluas, Calon A benar-benar menang bukan kerana prestasi, tetapi kerana jangkaan awal pengundi. Fenomena ini bukan terhad kepada politik sahaja. Seorang guru yang menganggap murid sebagai “lemah” mungkin memberikan perhatian minimum sehingga murid itu benar-benar ketinggalan. Seorang ketua yang tidak yakin terhadap pekerja baharu mungkin hanya memberi tugas kecil dan tidak mencabar, lalu pekerja itu tidak berkembang. Begitu juga usahawan yang menganggap produknya “tidak laku” akan kurang berusaha mempromosi, lalu produk itu benar-benar tidak mendapat sambutan.

Dalam semua situasi ini, ramalan mempengaruhi tindakan, dan tindakan pula mencipta keputusan yang seakan-akan membenarkan ramalan tersebut. Dalam konteks politik, apa yang kita sangka tentang calon, sama ada baik atau buruk, akhirnya mempengaruhi tindakan kita sehingga jangkaan itu menjadi kenyataan. Keyakinan bahawa seorang calon “pasti menang” mendorong kita mengikut arus, manakala sangkaan bahawa calon lain “tiada harapan” hanya berdasarkan stereotaip menyebabkan kita tidak peduli untuk menilai mereka secara adil.

Kesilapan persepsi ini hadir dalam pelbagai bentuk. Ada masanya kita hanya memilih maklumat yang mengesahkan kepercayaan sedia ada. Kita mendengar apa yang kita mahu, bukan apa yang benar-benar ada, hingga perasaan kecil dibesarkan menjadi hujah besar. Pada masa lain, kita mudah dipengaruhi oleh imej terawal atau berita paling baharu.
Imej calon yang petah bercakap atau skandal semasa sering dijadikan asas penilaian, sedangkan rekod kerja lima tahun tidak kita semak. Kita juga cepat melabel berdasarkan etnik, fahaman atau daerah. Apabila label diberikan, otak mengambil jalan mudah, menilai calon mengikut label tersebut, bukan berdasarkan fakta.
Apabila kita mengundi berdasarkan tanggapan yang kabur, kita sebenarnya membiarkan ramalan ciptaan diri sendiri mengawal keputusan. Untuk keluar daripada perangkap ini, kita perlu kembali kepada asas harga diri, yakni sejauh mana kita yakin dan berani berfikir sendiri. Pengundi dengan harga diri yang rendah biasanya tidak cukup yakin untuk menilai isu yang rumit. Mereka cenderung mengikut arah angin, apa yang tular di media sosial, atau pendapat kumpulan rakan. Akhirnya, undi mereka ditentukan oleh ramalan orang lain.

Sebaliknya, pengundi yang mempunyai harga diri yang baik tidak gentar menghadapi maklumat yang bercanggah. Mereka sanggup mendengar dua sisi, menimbang dengan adil dan membuat keputusan tanpa perlu bersandarkan persetujuan semua pihak. Pandangan orang lain tidak mudah menggoyahkan mereka. Inilah nilai pemikiran kritis yang penting, terutama ketika masyarakat dibanjiri maklumat yang bercampur-aduk. Jika kita melayan setiap lontaran pendapat tanpa menapis, masa dan fikiran kita akan mudah tersasar.

Ringkasnya, apabila kita berani menilai tanpa bergantung kepada jangkaan awal, kita sebenarnya sedang mematahkan kuasa Ramalan Pemuas Kendiri. Kita mengundi kerana kita faham, bukan kerana takut tersilap atau sekadar mengikut arus. Pada akhirnya, undi ialah cermin kepada cara kita berfikir. Maka, di situlah letaknya harga diri kita sebagai pengundi.

Jika harga diri kita kukuh, kita tidak mudah goyah oleh persepsi orang lain, tekanan sekitar atau cerita yang tidak lengkap. Kita membuat keputusan kerana yakin dengan kemampuan diri untuk menilai. Oleh itu, jika kita mahukan keputusan yang lebih baik, fikiran kita perlu lebih jernih. Bebaskan diri daripada sangkaan yang mengaburi fikiran. Pastikan setiap undi adalah suara yang jelas, bermakna, dan digunakan dengan penuh tanggungjawab.

Tentang penulis:

Prof. Madya Dr. Jakaria Dasan adalah kakitangan akademik di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS. Kepakaran akademik beliau adalah dalam bidang pengurusan sumber manusia. Beliau merupakan pensyarah komunikasi strategik korporat, dan aktif dalam aktiviti pembangunan komuniti. Untuk rekod, beliau pernah bertugas sebagai Setiausaha Sulit dan Perhubungan Awam kepada Menteri di Sabah sebelum menyertai UMS pada tahun 2006.
 
 
 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN