28 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 13, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

BFF@Labuan2025 lepasi sasaran jumlah pengunjung.

Dr.Zaliha ketika berucap pada majlis penutupan BFF@Labuan2025

LABUAN: Borneo Flora Festival@Labuan2025 yang berlangsung lima hari melabuhkan tirainya petang kelmarin dengan mencipta rekod luar biasa apabila jumlah pengunjung yang hadir mencecah lebih 100,000 melepasi sasaran 50,000 orang.

Jumlah kehadiran pengunjung yang luar jangkaan itu diungkapkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan BFF@Labuan2025
di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

Beliau berkata, kehadiran yang pada peringkat awalnya disasarkan hanya sekitar 50,000 orang itu bukan sahaja telah memeriahkan program tersebut, malah telah melonjakkan sektor pelancongan serta limpahan ekonomi kepada para peniaga, premis perhotelan, pengusaha restoran dan kedai makan serta perkhidmatan pengangkutan.

Katanya, festival ini menjadi juga bukti bahawa pelancongan tropika berasaskan flora mempunyai nilai ekonomi dan potensi diplomatik yang besar.

“Inilah gambaran awal manfaat yang boleh diraih apabila kita memberikan tumpuan kepada pembangunan sektor pelancongan dan ekonomi kreatif atau ‘ekonomi jingga’ di Labuan. Usaha ini mesti diteruskan dan diperkasakan.

“InsyaALLAH saya yakin Labuan ada potensinya dan kalau kita bekerjasama semuanya akan menjadi kenyataan “, katanya.

Dr.Zaliha menyampaikan hadiah kepada pemenang anugerah taman flora terbaik BFF@Labuan2025

Jelas beliau, sepanjang berlangsungnya festival itu, Labuan menjadi tumpuan pengunjung dari seluruh pelusuk Borneo yang secara tidak langsung telah mengangkat keindahan flora Borneo dan kekayaan biodiversiti rantau ini.

Pada masa yang sama katanya, penganjuran BFF@Labuan2025 telah mengangkat Labuan sebagai destinasi pelancongan berkonsepkan alam flora dan budaya di rantau Borneo.

Dr. Zaliha turut menyampaikan penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan penganjuran festival ini khususnya Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Perbadanan Labuan, Perbadanan Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Sementara itu, penganjuran BFF@2025 telah menyaksikan lebih 250,000 flora tropika menghiasi kawasan festival ini dengan beberapa spesis pokok yang jarang ditemui turut dipamerkan.

Festival lima hari yang julung kalinya diadakan di Borneo turut mendapat sokongan daripada pelbagai agensi dari negeri Sarawak, Sabah, Negara Brunei Darussalam dan Pontianak Kalimantan Indonesia, serta Jabatan dan agensi kerajaan, swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Labuan.

.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN