Jonathan melawat pameran makanan tradisional yang disediakan penduduk kampung dalam majlis tersebut
RANAU: Golongan belia harus diberikan ruang dan peluang dalam membuat anjuran program di peringkat kampung, seperti Majlis Sambutan Pesta Kaamatan, kata Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Menurutnya, inisiatif seumpama itu dapat memberikan keterlibatan golongan belia dalam penganjuran program-program kampung, sekaligus memberikan dorongan mereka untuk mengambil tahu tentang hal ehwal kampung.
Tambah beliau, golongan belia adalah generasi moden yang tidak kurang kreatif, serta mempunyai input yang baharu dan bernas dalam menjalankan bermacam perkara.
“Justeru saya cadangkan agar pimpinan peringkat kampung memberi peluang serta membuka pintu kepada prospek anak-anak muda untuk membuat anjuran sambutan-sambutan seperti Kaamatan.
“Langkah sebegini, selain dapat mengeratkan hubungan antara generasi terdahulu dan juga gengerasi baharu, ia juga dapat mengelakkan daripada belia kita disisihkan serta terjerumus dalam kegiatan yang kurang sihat,” katanya.
Jonathan berkata demikian senasa merasmikan Majlis Sambutan Tadau Kaamatan Peringkat Kg. Kinirasan Ranau, yang diadakan di Dewan Kg Kinarasan dekat sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kebahagiaan dan kebersamaan tidak tercipta dengan sendirinya, tetapi kita harus mengupayaan itu dengan cara membuat perkumpulan untuk bertemu, makan bersama dan sebagainya.
“Jangan berharap segala-galanya boleh berlaku secara automatik tanpa ada seseorang yang mengupayaan supaya ada satu majlis kebersamaan dengan keluarga.
“Justeru jika kita mahukan kegembiraan, sekurang-kurangnya kita kena lakukan sesuatu gerakan untuk menjayakan misi itu menerusi satu usaha yang baik untuk menyatukan,” katanya.
Kaamatan, menurut Jonathan, adalah satu perayaan yang secara meriah dirayakan di Negeri Sabah dan ianya adalah sangat penting untuk terus dihidupkan kerana inilah kebudayaan rakyat tempatan di sini sejak dahulu lagi.
“Inilah perayaan yang dapat menghimpunkan masyarakat dari pelbagai lapisan di sesebuah kampung dan ia mengwujudkan keharmonian di kalangan penduduk samada tua atau muda.
“Kaamatan juga mengajak penduduk untuk bekerjasama antara satu sama lain, justeru dapat merapatkan lagi silaturahim antara sesama dan memberi peluang untuk mengenali satu sama yang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Jonathan turut menyarankan kepada pimpinan kampung di kawasan ini agar mengambil peluang terhadap lokasi tanah tinggi di sini sebagai salah satu produk pelancongan yang boleh membawa pulangan yang baik kepada kampung.
Dalam kesempatan itu, beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah atas komitmen pihak penganjur yang telah bertungkus-lumus sehingga berjaya menganjurkan acara itu.
Turut hadir di majlis itu, WKAN Tinus Katin, Ketua Kampung Kg. Kinirasan Salehuddin Aniajak, Pengerusi JPKK Kg. Kinirasan, Jalius Marudi selaku penganjur program, pegawai dan kakitangan Pejabat Parlimen Ranau, penduduk kampung dan lain-lain.



