Alexsius Tingadon dan Baan Angga menunjukkan kawasan jalan raya utama menghubungkan Kg Kumawanan, Kg.Kuangoh dan Kg.Baru.
KENINGAU: Muda-mudi yang menunggang motorsikal termasuk pemandu kenderaan disekitar jalan-jalan utama perkampungan perlu lebih berhati-hati dan mematuhi had laju yang ditetapkan bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
Demikian rungutan penduduk yang tinggal di Kg.Mongitom, Bingkor dekat sini yang mengingatkan penunggang motorsikal dan pemandu kenderaan disekitar jalan raya utama menghubungkan tiga perkampungan iaitu Kg.Kumawanan, Kg.Kuangoh dan Kg.Baru.
Pesara pengetua sekolah menengah, Alexsius Tingadon berkata, beliau sering melihat penunggang motorsikal dan beberapa pemandu kenderaan yang memandu terlalu laju apabila melalui kawasan perumahan penduduk kampung dijalan utama sekitar kampung-kampung tersebut.
“Kawasan ini adalah kawasan perkampungan yang agak padat dengan rumah penduduk termasuk pejalan kaki dari kalangan kanak-kanak, palajar sekolah serta warga emas. Jangan memandu terlalu laju yang boleh membawa insiden tidak di ingini”. Katanya.
Seorang lagi penduduk, Baan Angga turut berharap perkara sama dilakukan oleh penunggang motorsikal dan pemandu kenderaan kerana bimbang keselamatan penduduk kampung dan pengguna jalan raya yang lain.
Katanya, pelbagai risiko kemalangan boleh berlaku jika mereka memandu terlalu laju yang bukan sahaja memudaratkan manusia, malah haiwan peliharaan seperti anjing, kucing, lembu dan kambing turut terdedah bahaya keselamatan.
“Sebelum ini pernah berlaku kemalangan maut dimana seorang penduduk kampung dilanggar kereta yang hilang kawalan. Agak malang, kejadian itu berlaku ketika mangsa menghadiri majlis pengkebumian mendiang anak saya sendiri”. Tegasnya.
Dalam masa sama, Baan turut merayu agar penunggang motorsikal tidak mengubah ekzos motorsikal mereka sehingga mengeluarkan bunyi bising yang boleh menggangu kententeraman awam.
Katanya, sesetengah penunggang motorsikal dikalangan remaja kadang kala suka mengubah ekzos motorsikal mereka dan sudah tentu melanggar peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Ada yang merungut apabila motorsikal mengeluarkan bunyi yang agak bising, anjing peliharaan penduduk mengejar penunggang motorsikal berkenaan. Bayangkan, sehingga binatang peliharaan penduduk juga tertekan dengan bunyi bising motorsikal”. Tegasnya.
Justeru, kedua-dua penduduk itu turut berharap agar ibu bapa, keluarga serta pemimpin-pemimpin masyarakat disekitar kampung dapat memberikan nasihat dan ingatan kepada penunggang motorsikal serta pemandu kenderaan agar sentiasa berhemah ketika memandu di jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Mereka turut merayu kerjasama pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) kerap melakukan rondaan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Daerah Keningau.