Sylviana dan Rhowell bergambar bersama para peserta bengkel Bengkel Vokal & Penjurian Telupid
TELUPID: Bengkel Vokal dan Penjurian (Skop Etnik Sabahan dan Antarabangsa) yang berlangsung di Mini Hall Aisyah Dealova, Pekan Baru Telupid mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran 40 orang peserta.
Para peserta kali ini terdiri daripada warga pendidik, artis, pempengaruh medsos, pemuzik, dan juga pencinta seni muzik dari dalam dan luar daerah Telupid.
Program ini dianjurkan oleh Sylviana Viana Saiki di bawah syarikat beliau MV Event & Entertainment dengan kerjasama Kelab Rekreasi Artis Sabah.
Bengkel tersebut menampilkan tenaga pengajar profesional, Rhowell Rolland Raymond Pagi, seorang tokoh berpengalaman luas dalam bidang vokal dan penjurian yang disegani ramai.
Objektif utama bengkel adalah untuk meningkatkan kemahiran asas vokal, memperkasa teknik pernafasan dan kawalan suara, membimbing peserta menjadi juri yang lebih profesional, telus dan berkualiti serta memberikan pendedahan tentang etika dan tanggungjawab dalam dunia pertandingan nyanyian.
Selain itu, bengkel ini juga menjadi platform jaringan (networking) antara penggiat seni dari pelbagai latar belakang.
Kehadiran mengejut ADUN Telupid, YB Datuk Jonnybone J.Kurum untuk merasmikan bengkel memberikan suntikan semangat luar biasa kepada penganjur, tenaga pengajar dan para peserta.
Dalam ucapan ringkasnya, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap penganjuran bengkel yang dianggap sangat bermanfaat kepada pencinta muzik tempatan, sambil menyatakan sokongan penuh agar lebih ramai bakat baru dalam bidang nyanyian dan penjurian dapat digilap khususnya di daerah Telupid.
Lebih menarik, Jonnybone turut mempersembahkan dua buah lagu secara langsung, sekaligus memeriahkan lagi suasana bengkel.
Persembahan spontan beliau bukan sahaja mendapat tepukan gemuruh, malah menjadi kenangan istimewa buat semua yang hadir pada bengkel tersebut.
Sepanjang bengkel, peserta didedahkan dengan pelbagai modul antaranya sesi “warm up”, teknik pernafasan yang betul, pengenalan kepada jenis-jenis suara, serta panduan memberi markah yang adil dalam sesebuah pertandingan nyanyian.
Bengkel turut menampilkan sesi praktikal di mana peserta diberi peluang menyanyi, sementara rakan-rakan lain berperanan sebagai juri.
Tenaga pengajar juga turut memberi tunjuk ajar secara langsung bagi memperbaiki mutu suara, intonasi, dan cara penyampaian lagu serta cara pernafasan yang betul.
Sesi soal jawab interaktif menjadikan suasana bengkel lebih hidup dan bermanfaat kepada semua.
Di akhir program, setiap peserta menerima sijil penyertaan rasmi dua dalam satu (Vokal dan Penjurian). Sijil penghargaan turut disampaikan kepada tenaga pengajar dan YB Datuk Jonnybone sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka.
Dalam ucapan penutupnya, Sylviana menyatakan rasa syukur kerana bengkel mencapai objektif seperti yang dirancang.
“Saya amat berterima kasih kepada YB Datuk kerana meluangkan masa hadir merasmikan bengkel walaupun mempunyai jadual yang padat apatah lagi tidak lama lagi PRU akan bermula.
“Kepada tenaga pengajar yang telah berkolaborasi bersama saya sejak tahun 2017, serta kepada AJK yang membantu saya menjayakan program ini, tidak lupa juga kepada semua peserta yang hadir dengan semangat tinggi untuk menimba ilmu, terima kasih atas komitmen semua masing- masing.
“Jika tiada halangan, kepada semua peserta, dalam masa terdekat kita akan menganjurkan Vokal Masterclass sebagai kesinambungan vokal ini,” katanya.