27 C
Kota Kinabalu
Isnin, Mac 9, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Bengkel Vokal & Penjurian Nyanyian Lagu Kota Marudu 2025 memartabatkan seni suara Sabah

Vie (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Datuk Redonah dalam program itu

KOTA MARUDU: Dunia seni suara di Sabah kembali bersinar dengan penganjuran Bengkel Vokal & Penjurian Nyanyian Lagu yang diadakan di Mini Dewan Raihan, Kota Marudu.

Bengkel eksklusif ini berlangsung sehari pada hari Sabtu dan dianjurkan oleh MV Event & Entertainment dengan kerjasama Kelab Rekreasi Artis Sabah (KERAS).

Pengerusi pengelola bengkel, Sylviana Viana Saiki, atau lebih dikenali sebagai Vie, merupakan individu yang aktif dalam penganjuran bengkel seni suara dan lakonan.

Beliau yang berasal dari Ranau, Sabah, juga merupakan Pengarah MV Event & Entertainment, Jawatankuasa Pembangunan Persatuan Artis Seni Tempatan Sabah (PERTISA), Setiausaha Agung KERAS, serta Ketua Biro Kebajikan Kelab Kupi-Kupi FM96.3.

Bengkel ini menjadi pembuka tirai bagi tahun 2025 dan akan diikuti dengan lebih banyak sesi di daerah lain. Lokasi seterusnya akan diumumkan setelah perbincangan bersama penceramah jemputan tetap dan jawatankuasa pengelola.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahadnda yang juga merupakan Ketua Pergerakan Wanita PGRS Negeri Sabah dan Cawangan Bandau Kota Marudu.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa ini merupakan pengalaman pertamanya merasmikan sebuah bengkel seni, yang dianggapnya sebagai satu kenangan bersejarah dalam hidupnya.

“Saya sangat bersetuju dengan penganjuran bengkel ini kerana ia membuka peluang kepada bakat-bakat tempatan untuk mengasah kemahiran mereka dalam seni suara.

Vie (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Datuk Redonah dalam program itu

“Bengkel ini bukan sahaja membina keyakinan peserta, tetapi juga membantu mereka keluar dari kepompong untuk lebih menyerlah dalam industri hiburan.

“Saya berbangga dengan semua peserta yang hadir dan berjanji akan terus memberi sokongan kepada bengkel-bengkel seni seperti ini di Kota Marudu pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada pihak penganjur atas usaha menghidupkan suasana seni di Kota Marudu dan menyatakan kesediaannya untuk terus bekerjasama dalam penganjuran acara seumpama ini di masa hadapan.

Sambutan terhadap bengkel ini sangat menggalakkan, dengan kehadiran peserta dari pelbagai latar belakang, termasuk dari luar Sabah. Namun, terdapat beberapa individu yang terpaksa menarik diri pada saat akhir disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan.

Walaupun begitu, semangat dan komitmen peserta yang hadir tetap tinggi, menjadikan bengkel ini satu kejayaan besar.

Vie turut menzahirkan penghargaan kepada Datuk Redonah, yang sanggup hadir ke bengkel ini meskipun terpaksa menempuh perjalanan jauh dari Kota Kinabalu ke Kota Marudu.

Bengkel ini menampilkan penceramah jemputan Rhowell Rolland Raymond Pagi, seorang tenaga pengajar vokal berpengalaman yang juga merupakan Pengetua Fortissimo Music Studio di Tuaran dan Pensyarah Vokal Ensemble di UiTM Cawangan Sabah.

Rhowell, yang telah menjadi penceramah tetap dalam bengkel seni suara anjuran Vie sejak 2017, berkongsi ilmu mengenai teknik vokal yang betul, kawalan pernafasan, ekspresi seni dalam nyanyian, serta aspek penjurian dalam pertandingan nyanyian.

Selain itu, kejayaan bengkel ini turut disokong oleh individu-individu penting dalam industri seni suara di Kota Marudu, seperti Jawil Jumin, Coach Keiru (Timbalan Pengerusi Pengelola) dan Ian Arthur.

Vie mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa yang telah memberikan komitmen tinggi bagi memastikan kelancaran dan kejayaan bengkel ini.

Berdasarkan kejayaan penganjuran ini, pihak penganjur merancang untuk meneruskan inisiatif seni suara dengan mengadakan Bengkel Masterclass selama dua hari di Kota Marudu sebelum Sambutan Hari Kaamatan pada bulan Mei nanti.

Bengkel ini dijangka akan memberikan latihan vokal yang lebih mendalam dan sesi penjurian profesional, sekaligus membantu para peserta mempersiapkan diri untuk pertandingan dan persembahan di peringkat lebih tinggi.

Dengan adanya bengkel-bengkel seperti ini, bakat seni suara di Sabah bukan sahaja dapat digilap, malah berpeluang untuk menyerlah di pentas kebangsaan dan antarabangsa.

Penganjur berharap agar program ini terus mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, sekali gus memperkukuhkan Sabah sebagai pusat kecemerlangan seni suara di Malaysia.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN