28 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Belia perlu berilmu bagi mendepani cabaran membangunkan negara-Bashir

SERAH…. Bashir menyempurnakan  penyerahan  bakul makanan

LABUAN: Belia masa kini  perlu  dibekalkan  dengan pelbagai ilmu yang berguna bagi mendepani cabaran membangunkan Negara yang bersifat kompetitif dan terbuka.

Demikian kata Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias ketika berucap  sempena ProgramAgihan Bakul Makanan Belada dan  Merdeka @ Komuniti anjuran Bersama Persatuan Belia Kampung Sungai Lada dan Jabatan Penerangan Labuan yang diadakan di Dewan Komuniti Kampung Sungai Lada baru-baru ini.

 “Kalau ingin melihat kemajuan negara kita di masa hadapan lihatlah belia pada zaman ini, tanamkan ilmu-ilmu yang berguna kepada belia seperti ilmu perniagaan, kepimpinan dan sebagainya bagi melahirkan generasi belia yang bermutu.

“Masa depan menjanjikan cabaran yang begitu besar dengan kepesatan teknologi komunikasi yang moden kita bukan hanya bersaing di dalam negara malah ke peringkat antarabangsa, para belia perlu bersedia dengan ilmu agar mampu bersaing serta menempuh cabaran masa depan,”katanya

Beliau turut menyeru persatuan – persatuan belia agar sentiasa berhubung dengan agensi-agensi lain bagi mencari peluang meningkatkan ilmu serta kemahiran para belia tempatan.

SUPIAN menyampaikan bahan bahan  penerbitan JaPen kepada Abdul Mutalid.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Labuan, Supian Musa  yang turut berucap pada majlis itu berkata, para belia perlu menghayati semangat kemerdekaan negara yang sebenar.

“Para belia perlu memerdekakan pemikiran mereka daripada sebarang unsur yang negatif, belia perlu bebas daripada pemikiran yang menghalang diri mereka dari melakukan perubahan yang lebih baik.

“Jangan terpengaruh dengan idealisma yang membawa belia kepada budaya yang tidak mencerminkan aspirasi pembentukan negara ini, kita perlu kekal dengan acuan yang sederhana dan tidak melampau dalam menyuarakan pandangan serta kritikan,”katanya.

Supian turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Belia Kampung Sungai Lada (Belada) yang menjadikan JaPen sebagai rakan strategik dalam menggelorakan semangat cintakan negara sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Pada program itu, sebanyak 40 bakul makanan disumbangkan kepada beberapa pertubuhan belia dan penduduk kampung Sungai Lada selain edaran bahan penerbitan JaPen kepada penduduk kampung.

Hadir sama Ketua Kampung Sungai Lada, Jali Mumin, Presiden Majlis Belia Labuan, Abdul Mutalib Sahari dan Pengerusi Belada, Faridzuan Abdul Harah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN