27 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Belia mesti perkukuhkan diri sebelum berkahwin: Flovia

Flovia memberikan cenderahati kepada Jonathan sambil diperhatikan oleh yang lain-lain

RANAU: Golongan belia dinasihatkan agar memperkukuhkan diri dari pelbagai sudut sebelum melangkah kealam perkahwinan supaya ikatan yang dibina mereka itu berlangsung berlandaskan kekukuhan.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk Flovia Ng berkata, tiada yang mahu melihat generasi muda terus dibelenggu masalah seperti ketinggalan dalam aspek pembelajaran, pekerjaan, kehidupan sosial serta masalah kesihatan.


“Walhal jika mereka ini diberi peluang, generasi muda ini merupakan aset negara yang bakal melakar serta mencorak langkah dalam pembangunan masa depan negara kita.

“Biarlah golongan muda ini, baik lelaki atau perempuan, menimba ilmu dan mempersiapkan diri mereka dalam aspek pekerjaan, ekonomi, psikologi dan juga ilmu kekeluargaan.

“Barulah perkahwinan yang dibina mereka itu berlangsung berlandaskan kekukuhan semua aspek yang telah saya sebutkan tadi, agar ia akan berkekalan hingga ke akhir hayat mereka,” kata beliau.

Flovia yang mewakili Menteri KPMKR, Datuk James Ratib, berkata demikian semasa merasmikan penutupan Program Kesedaran Menangani Isu Perkahwinan Awal Kanak-Kanak (MIPA) dan Mengarusperdanakan Gender Dalam Pembangunan Luar Bandar yang diadakan di Dewan Masyarakat Ranau pada hari Selasa.

Turut hadir menyempurnakan majlis penutupan ini ialah Ahli Parlimen P179 Ranau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Pilihan Khas (JKPK) Malaysia, Datuk Jonathan Yasin.

Flovia, Jonathan dan lain-lain memberikan tanda bagus terhadap program anjuran JHEWA itu

Program yang berlangsung sehari ini dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) bagi kawasan N36 Kundasang, N37 Karanaan dan N38 Paginatan telah melihat penyertaan dari orang awam dan pemimpin-pemimpin masyarakat yang khususnya disasar oleh program ini sebagai penyebarluas kesedaran ini di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Flovia yang juga Adun Tulid berkata, isu berkaitan perkahwinan awal ini bukanlah baharu dikalangan masyarakat di Sabah dan malangnya situasi berkahwin awal masih tetap berlaku dan terjadi pada hari ini.


“Sudah semestinya perkahwinan merupakan perkara yang indah sekiranya ia dilakukan dengan persiapan diri yang seutuhnya baik dari aspek fizikal, mental serta ekonomi terlebih dahulu,” kata beliau.


Berkenaan isu mengarusperdanakan gender dalam pembangunan luar bandar, katanya, masih terdapat beberapa halangan yang perlu ditangani dalam usaha mengangkat martabat wanita serta golongan yang memerlukan ke puncak lebih tinggi.


“Contohnya, stereotaip terhadap ke-pemimpinan wanita, perkahwinan awal usia serta isu-isu berasaskan gender, yang masih menyasarkan wanita, termasuklah gangguan seksual serta keganasan rumah tangga.


“Atas sebab inilah, dua program yang telah dinyatakan sebentar mempunyai tujuan yang selari bukan sahaja sekadar suatu penegasan, tetapi bersama dengannya, pihak penganjur komited untuk melaksanakan perubahan bagi membela hak-hak manusia sejagat, khususnya wanita,” kata beliau.


Sehubungan itu, tambah Flovia, berbekalkan panduan yang digariskan dalam dokumen-dokumen penting antarabangsa yang telah digubal, perlu diakui bahawa banyak lagi usaha yang perlu dilipat gandakan demi memastikan semua individu baik wanita mahupun lelaki mendapat ekuiti dan kesaksamaan.


“Dalam erti kata lain, apabila kesaksamaan itu dicapai seterusnya persekitaran yang kondusif serta menyokong sudah tentu ini akan memberikan mereka peluang untuk mendapatkan kemahiran, harga diri dan keyakinan untuk merasa bahagia serta berjaya dalam kehidupan,” jelas beliau.


Hadir bersama ialah Pengarah JHEWA, Hajah Haslinah Ismail, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau, Elmer Endra Matius Sator, Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Ranau, Farihah Binti Mohd Jamian, dan para pemimpin masyarakat dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N36 Kundasang, N37 Karanaan dan N38 Paginatan.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN