PESERTA….Bashir (duduk dua dari kiri), Supian (duduk kiri sekali) dan Abdul Mutalib (duduk kanan) bersama sebahagian peserta yang menyertai program tersebut.
LABUAN: Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias menyeru golongan belia di pulau ini supaya sentiasa berganding bahu membantu dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata, golongan belia boleh memainkan peranan melaporkan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah yang berlaku di kawasan mereka serta bekerjasama dalam menjayakan program dan kempen pemulihan yang dilaksanakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Pada Belanjawan 2020, kerajaan telah memperuntukan RM15 juta kepada AADK bagi program pembasmian gejala dadah yang dilaksanakan bersama pertubuhan pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti tempatan.
“Namun tanggungjawab menangani masalah ini sebenarnya harus dipikul bersama setiap warga Negara Malaysia terutamanya golongan belia” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Taklimat Isu-Isu Semasa Siri2/2021 yang diadakan di Dewan Komuniti Kampung Sungai Lada, pagi tadi.
Program anjuran bersama Jabatan Penerangan (JaPen) Wilayah Persekutuan Labuan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Labuan, Majlis Belia Labuan (MBL) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Labuan telah disertai hampir 100 ahli persatuan belia dari seluruh Wilayah Persekutuan Labuan.
PENGHARGAAN…. Supian menyampaikan cenderahati kepada Bashir selepas merasmikan program tersebut.
Bashir yang juga Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan turut mengingatkan pertubuhan belia perlu melipatgandakan penglibatan dalam membantu kepimpinan setempat merancang, menggerak dan melaksanakan program bagi memperkasakan aktiviti kemasyarakatan di samping meningkatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan sosial.
“Belia perlu menjadi contoh tauladan yang baik dengan mengajak masyarakat di sekeliling untuk melakukan perkara yang baik dan menjauhi sebarang perkara negatif termasuk penyalahgunaan dadah.
“Perjuangan para belia untuk menjadikan komuniti di kawasan kita sebagai komuniti bebas dadah bukan sahaja boleh menyelamat beberapa individu tetapi ianya bakal menyelamatkan masa depan agama, bangsa dan negara ini untuk satu tempoh jangka masa yang panjang”, katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap golongan belia hari ini dapat menghayati konsep Keluarga Malaysia seperti yang disarankan oleh kerajaan bagi kita sama-sama menguatkan tekad dan azam dalam usaha untuk membebaskan negara daripada masalah dadah agar kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di negara ini dapat direalisasikan.
Sementara itu katanya, sebanyak 321 kes penyalahgunaan dadah direkodkan di Labuan pada tahun ini dan 74 peratus daripadanya adalah mereka yang berumur 18 hingga 39 tahun.
“Melalui data ini, dapat dilihat penyalahgunaan dadah berada pada tahap membimbangkan dan terdapat juga kes penyalahgunaan yang bermula di peringkat usia remaja seawal 10 tahun.
Pada program itu, para peserta diberikan taklimat berkaitan isu-isu penyalahgunaan dadah oleh penceramah daripada Polis Diraja Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Labuan.
Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Supian Musa, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan, Mohammad Syahffie Haji Japril, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan, Dzulfaizal Ab Manan dan Presiden Majlis Belia Labuan, Abdul Mutalib Sahari.