TIANG GOL BESI (gambar)…Jamili memperlihatkan tiang gol yang sudah siap.
RANAU: Belia Kg.Pahu Sarayo terletak 38 kilometer dari pekan di sini, menarik nafas lega kerana tiang gol padang kampung itu yang sebelum ini tiang bambu kini, sudah ditukar dengan tiang besi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) Kg.Pahu Sarayo, Jamili Bin Satimin ketika ditemui memberitahu, usaha untuk mengganti tiang gol itu adalah diambil daripada peruntukan kewangan berjumlah RM10 ribu sumbangan Timbalan Menteri Dalam Negeri II Kementerian Dalam Negeri, yang juga Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Jamili mewakili para belia dan penduduk kampung merakam penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Jonathan kerana membantu penduduk menyediakan dana bukan sahaja menggantikan tiang gol malah membiayai kos pemasangan pagar kawasan kampung terutama pasangan pintu utama bagi menghalang binatang ternakan seperti lembu memasuki kawasan kampung.
“Sumbangan RM10 ribu itu kami manfaatkan untuk membeli besi Tiang Gol padang bola sepak dan membina pagar kawasan kampung.
“Saya mewakili penduduk di sini, yang kini mencecah 496 orang berterima kasih kepada Datuk Jonahan atas keprihatinannya menyalurkan peruntukan tersebut untuk menyediakan kemudahan penduduk kampung di sini”, tambah Jamili.
Sementara itu, Pegawai Pemantau Projek Pejabat Parlimen Ranau, Dominik Bin Kasuman ketika ditemui selepas memantau projek tersebut, memuji komitmen penduduk khususnya, JPKK Kg.Pahu Sarayo kerana memanfaatkan peruntukan itu sebaik mungkin untuk masyarakat kampung berkenaan.