RANAU: Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia mencerminkan komitmen jitu Kerajaan Persekutuan menjaga semua peringkat rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak.
Menjelaskan perkara itu, Ketua Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (StarSabah), Kong Soon Choi berkata, beliau berharap belanjawan itu boleh melahirkan lebih ramai anak muda berdaya saing di negara ini khasnya di Sabah dan Sarawak.
“Beberapa kemudahan telah di umumkan Perdana Menteri dalam belanjawan kali ini. Antaranya kerajaan bersetuju untuk menanggung perbelanjaan ujian memandu untuk mendapatkan lesen motorsikal kelas B2, lesen teksi, bas dan e-hailing. Belia perlu merebut peluang itu untuk meningkatkan ekonomi diri dan keluarga”. Katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menggalakkan para belia untuk menceburi perniagaan kecil-kecilan dan memanfaatkan dana pinjaman usahawan mikro yang diperuntukkan dalam belanjawan kali ini.
Sebanyak RM1.7 bilion disediakan untuk membantu penjaja kecil yang mana peminjam boleh berurusan di beberapa agensi kewangan seperti Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan TEKUN.
Kong yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berharap peruntukan RM6.5 bilion kepada negeri Sabah bakal merubah nasib belia di pedalaman kerana beberapa kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik sudah tentu dapat dinaiktaraf secara lebih berkesan.
“Tambahan RM2.5 bilion yang diperuntukkan untuk negeri Sabah dan Sarawak melaksanakan projek kemudahan awam seperti jalan raya, lampu jalan, bekalan air dan elektrik sudah tentu boleh merubah nasib mereka apabila dilaksanakan kelak”,
“Para belia akan lebih senang menjalankan kerja harian mereka termasuk menghantar hasil tuaian dari produk pertanian dan perikanan, meningkatkan mutu pendidikan dan menjalankan perniagaan kecil-kecilan”. Tegasnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Selain itu, beliau juga yakin pembangunan sempadan negara antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan akan membuka ruang pembangunan sumber manusia yang pesat dengan penambahan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk membina beberapa prasarana penting dilokasi itu.
Pada Jumaat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM388.1 bilion, dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM289.1 bilion dan RM99 bilion untuk pembangunan.
Belanjawan yang disemak semula ini RM15.8 bilion lebih tinggi daripada bajet RM372.3 bilion yang dibentangkan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.