ADVERTISEMENTspot_img

Persaraan bukan noktah terus berbakti

Yazid menyampaikan sumbangan kepada Wakil 5PM Daerah Keningau Puan Zainon Johari

KENINGAU: Persaraan bukan noktah untuk warga pendidik terus aktif dan menyumbang kepada masyarakat, kata Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) Daerah Keningau, Hj. Yazid Hj. Mohd. Hasnan Tawik @ Charles.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi PMPS berkata, penganjuran 5PM Fun Run 2.4KM Keningau 2026 anjuran Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM) Daerah Keningau bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim dalam kalangan pesara guru, warga pendidik, keluarga dan masyarakat.

“Pesara guru bukan bermakna kita perlu berhenti daripada terus aktif. Sebaliknya, pengalaman, tenaga dan semangat yang ada masih boleh disumbangkan kepada masyarakat.

“Program seperti Fun Run ini membuktikan warga pendidik yang sudah bersara tetap bertenaga, aktif dan mempunyai semangat yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyatakan sokongan terhadap penganjuran program berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada 12 September ini, jam 6 pagi di Thomas Hill, Keningau, selain turut menyumbangkan hadiah bagi membantu menjayakan program itu.

Hj. Yazid berkata, semangat ‘aktif, sihat dan bahagia’ yang diketengahkan melalui program berkenaan amat bertepatan dengan keperluan golongan pesara untuk terus menjalani kehidupan sihat, produktif dan bermakna.

“Kita mahu melihat para pesara guru terus menjadi contoh kepada masyarakat. Walaupun sudah meninggalkan alam perkhidmatan, jiwa seorang guru tidak pernah bersara. Pengalaman, ilmu, nasihat dan sumbangan mereka masih amat diperlukan oleh generasi hari ini,” katanya.

Beliau berkata, PMPS yang dipimpin Presiden, Dr. Aslie Hj. Sahat, sentiasa terbuka menjalinkan kerjasama dengan persatuan guru serta persatuan mantan dan pesara guru di seluruh Sabah bagi melaksanakan program yang memberi manfaat kepada warga pendidik.

Katanya, kerjasama erat antara PMPS dan 5PM perlu terus diperkukuhkan, manakala warga pendidik, pesara guru, keluarga serta masyarakat Keningau diseru menyertai 5PM Fun Run 2.4KM 2026 bagi menyemarakkan budaya hidup aktif, sihat dan mengeratkan silaturahim.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN