Bekas pelumba basikal Olimpik New Zealand, Olivia Podmore, disahkan meninggal dunia pada usia 24 tahun, menurut kenyataan Jawatankuasa Olimpik New Zealand (NZOC).
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan dan orang lain dalam komuniti New Zealand yang bersedih dengan kehilangan ini.
“Kami akan memberikan sokongan kesejahteraan untuk anggota pasukannya dan pasukan yang lain selepas kami pulang dari Tokyo,” kata kenyataan.
Dilahirkan di Christchurch, New Zealand, Olivia telah meraih pingat perak dalam pecut berpasukan dan pingat gangsa dalam percubaan semasa di Kejohanan Dunia Junior 2015 di Astana, Kazakhstan untuk melayakkannya ke Sukan Olimpik Rio 2016.
Dia telah mewakili New Zealand di Rio 2016 dan Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dalam acara trek berbasikal, termasuk pecut berpasukan, keirin dan pecut individu.
Olivia bagaimanapun tidak berjaya mewakili New Zealand di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Namun, dia merupakan juara trek berbasikal- keirin kebangsaan New Zealand pada tahun 2017.
Jurucakap Polis New Zealand memberitahu CNN: “Polis mendapat laporan mengenai kematian secara tiba-tiba di sebuah kediaman di Cambridge pada petang semalam dan sedang membuat siasatan berkaitan dengan kematian tersebut.”
Abang Olivia, Mitchell menulis di media sosial: “Beristirahatlah dengan tenang kepada adik perempuan saya yang cantik dan merupakan puteri Phil Podmore yang disayangi. Anda akan berada di hati kami selamanya.”
Pasukan berbasikal New Zealand menggelarkan Olivia Podmore sebagai “pelumba yang sangat disayangi dan dihormati dalam Skuad berbasikal New Zealand kami.”
“Ramai orang bersedih dan berusaha untuk memahami apa yang telah terjadi.
”Kami juga begitu dan akan terus memberikan sokongan kepada kakitangan dan penunggang kami iaitu komuniti berbasikal dan mereka yang rapat dengan Olivia.” kata pasukan berbasikal New Zealand.
Sumber: CNN