CENDERAHATI…. Bashir (dua kiri) menerima cenderahati Huang sambil diperhatikan Ibrahim (kiri sekali) dan Ghani.
LABUAN: Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias menerima Kunjungan Hormat Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu, Huang Shifang yang diadakan di Tingkat 10, di Menara Perbadanan Labuan, pada Isnin.
Pertemuan hampir 45 minit itu turut dihadiri bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Perbadanan Labuan, Ibrahim Tambi dan Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Ghani Yunus.
Bashir ketika ditemui berkata, antara yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah mengenai peluang-peluang pelaburan khususnya dalam bidang perniagaan kewangan antarabangsa, perhotelan dan juga pelancongan.
“Dalam perbincangan itu, Huang turut berminat untuk mempromosikan sektor kewangan antarabangsa kepada komuniti peniaga Tionghua di China.
“Selain itu, beliau juga berminat untuk mempertingkatkan hubungan dua hala dalam pertukaran budaya serta kerjasama membabitkan kedua-dua pihak” katanya.