LAWATā¦.. Bashir (kiri sekali) bersama Mohd Dzulfaizal (tiga dari kiri), Fadillah (empat kiri), Suhali (lima kiri) ketika melawat keadaan rumah mangsa Sulaiman (dua kiri) yang terbakar awal pagi kelmarin.
LABUAN: Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias mengadakan lawatan ke rumah mangsa kebakaran di Kampung Lajau, petang kelmarin.
Beliau yang diiringi oleh Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan Labuan meluangkan masa hampir satu jam bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian dan membincangkan keperluan nasib keluarga mangsa yang tinggal sehelai sepinggang.
Bashir yang juga Ketua Umno Bahagian Labuan turut menyampaikan sumbangan wang tunai bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa.
Dalam pada itu Bashir menyeru jabatan kerajaan yang berkaitan dapat membantu mangsa yang ditimpa musibah dengan seberapa segera.
Selain itu, beliau juga akan berusaha dan menyokong supaya mangsa diberikan bantuan rumah di bawah projek Perumahan Rakyat (PPR).
Turut sama dalam lawatan itu, Pengerusi MPP Subzon 5, Fadillah Eddy Abdul Khalid, Ketua Kampung Lajau, Amran Zaid dan Ketua Umno Cawangan Kampung Lajau, Suhaili Amir.
Dalam kejadian awal pagi kelmarin, mangsa Sulaiman Yunus, 42, bersama isteri dan dua orang anaknya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah kediaman mereka hangus sama sekali dijilat api.
Sulaiman yang bekerja sebagai penjawat Awam di Komponi 51, Komposit AngkatanTentera Darat, Wilayah Persekutuan Labuan kini terpaksa menumpang tinggal bersama saudara terdekat.
Turut musnah dalam kebakaran itu empat buah motosikal.